DUNIA

RAKYAT MALAYSIA DITAHAN DI THAILAND, DISYAKI TERLIBAT JUDI DALAM TALIAN, PENGUBAHAN WANG HARAM

09/07/2025 06:35 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 9 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di sini pada Rabu kerana disyaki terlibat dengan rangkaian perjudian dalam talian dan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Pemeriksaan Imigresen Don Mueang, Kolonel Polis Adisak Panya berkata pihak berkuasa menerima maklumat risikan mengenai ketibaan seorang lelaki yang dikehendaki berdasarkan waran tangkap berkaitan kes membabitkan laman sesawang perjudian terkenal.

Menurut beliau, sepasukan pegawai penyiasat dihantar untuk menunggu di pintu keluar pesawat bagi menahan suspek yang memasuki Thailand melalui lapangan terbang berkenaan.

Lelaki yang memegang pasport Malaysia itu tiba dari Kuala Lumpur dan ditahan sejurus tiba di balai ketibaan antarabangsa.

“Suspek dikehendaki berdasarkan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi atas pertuduhan berkaitan rangkaian perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

“Lelaki itu akan disiasat atas kesalahan berkomplot menjalankan perjudian dalam talian tanpa kebenaran, bersekongkol dengan dua atau lebih individu untuk melakukan pengubahan wang haram, serta melakukan aktiviti pengubahan wang yang berpunca daripada komplot dan tindakan bersama itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Adisak turut mendedahkan bahawa suspek memiliki sebuah syarikat yang dipercayai menjadi saluran bagi pengedaran dana daripada laman sesawang perjudian, dengan jumlah urus niaga tahunan dilaporkan melebihi 11.52 bilion baht.

Suspek kemudiannya ditempatkan ke Bahagian 2, Bahagian Pencegahan Jenayah Teknologi (TCSD 2) untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan