KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Resorts World Genting (RWG) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Trip.com Group bagi mengukuhkan kerjasama strategik untuk merancakkan sektor pelancongan antarabangsa.
Kerjasama berkenaan satu pencapaian penting dalam aspek keterhubungan, inovasi pemasaran dan usaha menarik minat kumpulan sasaran dengan menawarkan pengalaman pelancongan lebih menarik kepada pelancong luar negara.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee berkata antara sorotan utama perkongsian itu adalah integrasi antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) secara langsung antara sistem tempahan hotel dan taman tema RWG dengan Trip.com Group.
“Dengan API masa nyata itu, semua pelawat antarabangsa kami, termasuk dari luar Asia Utara, boleh mendapatkan paparan menyeluruh mengenai semua produk kami termasuk dari segi harga.
“Ini bakal menambah baik keseluruhan proses membuat tempahan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian itu di Wisma Genting di sini.
Integrasi itu membolehkan kemas kini inventori secara masa nyata, pengesahan serta-merta dan keseragaman harga di kedua-dua platform, seterusnya menawarkan pengalaman tempahan yang mudah untuk pengguna.
Pelanggan Trip.com Group juga berpeluang menikmati tawaran eksklusif dan istimewa semasa merancang lawatan ke RWG.
Lee berkata kerjasama berkenaan turut menyokong peningkatan permintaan pelancongan di rantau ini, terutamanya di Malaysia, dan sejajar dengan usaha kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
MoU itu juga merintis laluan kepada kempen pemasaran bersama, terutamanya di pasaran Asia, termasuk jualan kilat dan tawaran eksklusif untuk ahli berdasarkan data dan pemasaran Trip.com Group.
Sementara itu, Pengarah Urusan Trip.com Group merangkap Naib Presiden Pasaran Antarabangsa Boon Sian Chai berkata kerjasama berkenaan bakal menambah baik aspek penawaran produk syarikat bersama satu daripada jenama hospitaliti terkenal di Malaysia.
Beliau berkata Malaysia ialah pasaran utama bagi Trip.com dan kerjasama itu mencerminkan komitmen untuk menyokong industri pelancongan negara.
“Trip.com Group ialah perintis dalam penstriman langsung produk pelancongan. Walaupun, ia belum begitu meluas di Malaysia, tetapi di kebanyakan rantau lain, terutamanya Vietnam dan China, penstriman langsung menjadi kaedah utama untuk memaparkan produk pelancongan.
“Selaku peneraju dalam perkara itu, Trip.com Group kini boleh menyediakan penstriman langsung oleh RWG mengenai hartanah, resort, taman tema, aktiviti dan pelbagai tawaran lain.
“Kami juga akan bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia.Trip.com Group berhasrat membawa lebih ramai pelancong antarabangsa dan memastikan Malaysia mendapat perhatian dunia sebagai destinasi pelancongan utama," katanya.
-- BERNAMA