Daripada Mohd Khairi Idham Amran
GENEVA (Switzerland), 9 Julai (Bernama) -- Hasrat Malaysia untuk dipilih semula sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 menerima maklum balas positif daripada Setiausaha Agung ITU Doreen Bogdan-Martin.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Bogdan-Martin menyambut baik penglibatan aktif Malaysia sebagai Ahli Majlis ITU yang disifatkan banyak menyumbang dalam aspek tadbir urus dan pembangunan dasar dalam agensi tersebut.
“Saya melihat ini sebagai satu petanda positif. Pihak kerajaan akan terus berusaha menyampaikan mesej kepada negara-negara anggota ITU bahawa keterlibatan Malaysia sebagai Ahli Majlis adalah sesuatu yang memberi nilai tambah dan wajar diteruskan,” katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat dengan Bogdan-Martin di sini hari ini.
Menurut Fahmi, kehadiran Malaysia dalam Majlis ITU membolehkan negara memainkan peranan dalam perbincangan berkaitan piawaian dan dasar dalam sektor telekomunikasi, termasuk teknologi 5G serta teknologi baharu seperti 6G, selain berkongsi pengalaman pelaksanaan rangkaian tersebut.
“Sama ada pelaksanaan 5G melalui model rangkaian tunggal atau dwirangkaian, kita dapat kongsikan secara jelas untuk membantu negara lain memahami serta mengenal pasti piawaian yang sesuai mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, Fahmi turut membincangkan potensi penglibatan ITU dalam penganjuran program M360 ASEAN yang bakal berlangsung buat julung kalinya di Kuala Lumpur pada September tahun depan.
“Penganjuran ini memberi peluang besar kepada Malaysia dan mencerminkan penghormatan serta pengiktirafan terhadap usaha negara dalam memajukan sektor telekomunikasi, sama ada di peringkat serantau mahupun global,” katanya.
Malaysia kini merupakan Ahli Majlis ITU bagi penggal 2023-2026, yang membolehkan negara mengambil bahagian dalam merangka dasar strategik ITU serta mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital.
ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang telekomunikasi dan teknologi digital yang bertanggungjawab memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa bagi memastikan kebolehoperasian rangkaian komunikasi, serta berperanan merapatkan jurang digital di seluruh dunia.
-- BERNAMA