AM

AARON SERU ASEAN JALIN PERKONGSIAN LEBIH KUKUH BAGI MEMELIHARA WARISAN TEKSTIL

09/07/2025 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru negara-negara ASEAN agar menjalin perkongsian serantau yang lebih kukuh bagi memelihara, mengekalkan serta menginovasi warisan tekstil yang kaya di rantau ini.

Dalam ucapan alu-aluan pada Simposium Fabrik ASEAN 2025 yang berlangsung di sini hari ini, beliau berkata kepelbagaian tradisi tekstil di rantau ini disatukan oleh identiti budaya yang dikongsi bersama.

Beliau berkata kerjasama lebih erat boleh dijalinkan dalam beberapa bidang utama termasuk penyelidikan tekstil, pemerkasaan artisan, inovasi muzium dan penjenamaan serantau bagi produk warisan.

“Saya juga berharap platform ini akan membuka jalan kepada pencalonan bersama ke UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) pada masa hadapan seperti pengiktirafan kebaya baru-baru ini yang dicalonkan bersama oleh Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

“Usaha seperti ini bukan sahaja menghargai tradisi kita tetapi juga mengukuhkan komitmen bersama terhadap diplomasi budaya dan perpaduan,” katanya.

Simposium dua hari itu sempena Kepengerusian ASEAN 2025 dan dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Aaron berkata masa depan warisan tekstil ASEAN bergantung kepada keupayaannya untuk mengamalkan pendekatan yang bertanggungjawab dan lestari seperti penggunaan pewarna organik yang dapat mengurangkan pencemaran air sehingga 80 peratus, menunjukkan bagaimana teknik tradisional boleh memberi manfaat nyata kepada alam sekitar.

Beliau berkata kemampanan sektor tekstil harus merangkumi kaedah pengeluaran yang mesra alam, layanan adil kepada artisan, serta inisiatif untuk memindahkan kemahiran kepada generasi muda, sambil turut menekankan bahawa muzium perlu dilihat sebagai platform dinamik untuk kerjasama.

“Muzium tidak seharusnya hanya dilihat sebagai tempat menyimpan sejarah silam tetapi sebagai ruang aktif yang mempromosikan kerjasama dan perpaduan serantau. Melalui pameran, simposium dan program kreatif, ia boleh mencetuskan dialog awam, menyebarkan ilmu merentas generasi dan menyokong kemampanan budaya di Malaysia serta seluruh ASEAN.

“Hari ini, muzium perlu menjadi platform dinamik dengan artisan, pakar, komuniti dan pembuat dasar bekerjasama untuk menjadikan warisan sebagai nilai bersama. Perkongsian seperti ini boleh membantu menyatukan rantau ini dan memperkukuh identiti Asia Tenggara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Simposium ini menghimpunkan para pemegang taruh dari seluruh Asia Tenggara untuk bertukar idea mengenai memperkukuh peranan tekstil sebagai jambatan bagi persefahaman budaya dan kerjasama ekonomi dalam rantau ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan