KUANTAN, 9 Julai (Bernama) -- Beberapa kawasan di daerah Kuantan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama 12 jam bermula malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata gangguan itu berikutan pelaksanaan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Rumah Pam Kobat sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kerosakan lebih besar terhadap pengoperasian loji pada masa akan datang.
"Kerja-kerja itu akan bermula 11 malam, 9 Julai dan dijangka selesai pada 11 pagi Khamis (10 Julai). PAIP akan berusaha sebaik mungkin untuk meminimumkan tempoh gangguan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk seluruh kawasan Beserah sehingga sempadan Chendor meliputi Malaysia-China Industrial Park, Maritim, Bandar Damansara, Taman Dato’ Rashid, Batu Hitam, Kampung Darat Sekolah, Jeram, Sungai Karang Maju, Aspa Cottage, Jabor, Sungai Karang, Chengal Lempong, Balok, Seberang Balok, Sungai Ular, Pelabuhan, Cherating, dan Kubang Ikan.
Selain itu, kawasan industri Gebeng Fasa I, II, dan III, kawasan Pelabuhan, Jalan Jabor, Kampung Alor Batu Jabor, Jalan Semambu, Politeknik Semambu, kawasan perumahan dan industri Semambu, serta Jalan Tengku Muhammad turut terkesan.
Turut mengalami gangguan ialah kawasan Teluk Sisek, Pejabat Ukur, Jalan Beserah, Alor Akar, Sri Kuantan, Kubang Buaya, Teluk Chempedak, Istana Mahkota Teluk Sisek, Tanjung Api, Taman Gelora, Padang Lalang, Taman Selamat, Tembeling Resort dan Kelab Golf Diraja.
Kawasan lain ialah Bukit Sekilau, Jalan Bukit Ubi, Jalan Kenanga, Taman Bukit Ubi, Taman Sungai Charu, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Haji Ahmad, Galing, Setali, Air Putih, Taman Fairmount, Bukit Beirut, Jalan Bukit Setongkol, Bukit Setongkol, dan Cenderawasih.
Turut terkesan kawasan Rancangan Tanah Pemuda Bukit Goh, Bukit Goh Gen 2, Bukit Goh Perdana, Bukit Kuantan, sebahagian Tanjung Pasir, Indera Mahkota, Kampung Tiram, Tiram Perdana, Taman Shahzan, Taman Radiance, Kompleks Tun Razak, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Ibu Pejabat PAIP, Terminal Sentral, Bomba Indera Mahkota, dan Widad.
Sementara itu, Saiful Zaini turut memaklumkan bekalan air akan disalurkan kepada pengguna secara berperingkat setelah kerja-kerja penyelenggaraan siap sepenuhnya.
Beliau berkata tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas juga berbeza-beza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
“PAIP juga akan menyediakan bantuan alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan premis berkaitan yang memerlukan bekalan air secara berterusan.
"PAIP berharap dengan pemakluman awal notis ini dapat memberikan persediaan awal kepada pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," katanya.
-- BERNAMA