EKONOMI

ALLIANCE BANK JANGKA OPR KEKAL TIGA PERATUS BERIKUTAN PERSEKITARAN EKONOMI YANG MENGGALAKKAN

08/07/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok berikutan persekitaran ekonomi negara yang menggalakkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kelle Kam berkata Alliance Bank melihat Malaysia mempunyai faktor positif yang menyokong pertumbuhan ekonomi seperti penggunaan domestik yang kukuh, pertumbuhan kemasukan pelancongan dan pengangguran yang rendah.

"Saya tahu sesetengah pihak menjangkakan pemotongan kadar tetapi berdasarkan unjuran dalaman kami, kami meramalkan kadar itu akan tetap stabil pada tiga peratus.

"Berdasarkan penemuan kami pula, faktor-faktor ini masih cukup untuk menyokong pertumbuhan ekonomi tanpa perlu mengurangkan kadar faedah," katanya semasa makan tengah hari pasukan pengurusan kanan bank tersebut dengan rangkaian media hari ini.

Sementara itu, Kam juga berkongsi prospek bank untuk tahun kewangan 2026 menyatakan bahawa pertumbuhan pinjaman kasar dijangka sederhana sehingga antara lapan peratus dan 10 peratus, berbanding pertumbuhan sebenar 12 peratus pada tahun kewangan 2025. 

"Pada tahun kewangan 2026, kami juga menjangkakan margin faedah bersih antara 2.40 peratus sehingga 2.45 peratus, kos kepada pendapatan kira-kira 48 peratus, kos kredit bersih 30 hingga 35 mata asas, pulangan ekuiti hampir 10 peratus (pasca terbitan hak) dan pembayaran dividen antara 40 hingga 50 peratus," katanya. 

 Alliance Bank menyatakan bahawa momentum positif dalam prospek ekonomi Malaysia dijangka berterusan, disokong oleh pertumbuhan produk domestik kasar yang diunjurkan sebanyak 4.0 peratus kepada 4.5 peratus.

"Jelas sekali, terdapat satu perubahan dalam persekitaran ekonomi tempatan. Itulah sebabnya kami optimis dengan berhati-hati tetapi kami juga perlu kekal fleksibel dan tangkas memandangkan dasar-dasar Amerika Syarikat (AS) yang nampaknya sangat tidak menentu.

"Kami hanya mahu mengawasi apa yang sedang berlaku dalam industri dan bertindak balas dengan sewajarnya," katanya. 

Amerika Syarikat telah mengenakan tarif yang lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas produk Malaysia, berasingan dari semua tarif sektoral, berkuatkuasa 1 Ogos.

"Bagaimanapun, jika anda melihat Malaysia secara keseluruhan, penggunaan domestik masih berkembang dengan baik; simpanan tetap tinggi, pengangguran agak rendah dan kedatangan pelancong melonjak. Kami hari ini menjadi negara yang banyak dilawati di ASEAN," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan