DUNIA

KEBIMBANGAN BERKAITAN TARIF AS SERET FBM KLCI DITUTUP RENDAH HARI KEDUA BERTURUT-TURUT

08/07/2025 06:21 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu and Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari kedua berturut-turut pada Selasa, menongkah aliran meningkat pasaran serantau berikutan sentimen pelabur yang kekal berhati-hati susulan kebimbangan terkini terhadap tarif Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.4 mata mewakili 0.48 peratus kepada 1,530.14 daripada 1,537.54 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 7.85 mata lebih rendah pada 1,529.69 dan bergerak antara 1,526.27 dan 1,531.14 sepanjang hari.

Keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 550 berbanding 399. Sebanyak 490 kaunter tidak berubah, manakala 966 tidak diniagakan dan sembilan lagi digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.06 bilion saham bernilai RM2.20 bilion, berbanding 3.57 bilion saham bernilai RM2.49 bilion pada Jumaat.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI meneruskan penurunannya dalam persekitaran ketidaktentuan yang meningkat terhadap dasar perdagangan serantau, dengan tekanan jualan dilihat ketara dalam sektor perbankan dan berkaitan pengguna.

"Pasaran ekuiti domestik kekal tertekan selepas disahkan bahawa eksport Malaysia akan dikenakan tarif 25 peratus di bawah tindakan perdagangan terbaru AS.

"Walaupun indeks penanda aras tempatan merosot, kebanyakan pasaran serantau mencatatkan aliran berbeza, dengan indeks utama Asia diniagakan lebih tinggi berikutan optimisme berhati-hati bahawa AS mungkin masih terbuka untuk rundingan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata situasi tarif tersebut mungkin tidak seteruk yang dijangka dan penjualan baru-baru ini boleh membuka peluang belian pada harga murah memandangkan penilaian saham semakin menarik.

"Walaupun tarif ini memberi cabaran, kesannya kepada Malaysia dijangka lebih terkawal.

"Justeru, kami menjangka indeks penanda aras akan bergerak dalam julat 1,520 hingga 1,550 bagi baki minggu ini," katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing susut dua sen kepada RM9.70 dan RM6.70. Public Bank naik satu sen kepada RM4.34, Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM13.86, manakala CIMB turun 14 sen kepada RM6.61.

Dalam saham paling aktif, NexG naik 1.5 sen kepada 43.5 sen. Top Glove dan Tanco masing-masing turun setengah sen kepada 68.5 sen dan 89 sen. Zetrix AI pula meningkat dua sen kepada 97 sen, manakala Supermax menokok 4.5 sen kepada 63.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 50.52 mata kepada 11,468.14, Indeks FBMT 100 turun 55.32 mata kepada 11,237.91 dan FBM Emas Shariah merosot 68.29 mata kepada 11,432.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 112.04 mata kepada 17,609.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.66 mata kepada 153.75, dan Indeks Perladangan berkurangan 16.09 mata kepada 7,428.92. Indeks Tenaga pula susut 4.05 mata kepada 733.54.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.51 bilion unit bernilai RM1.98 bilion berbanding 1.47 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Isnin.

Dagangan waran merosot kepada 1.35 bilion unit bernilai RM154.21 juta daripada 1.83 bilion unit bernilai RM228.26 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 194.48 juta unit bernilai RM67.28 juta berbanding 267.85 juta unit bernilai RM112.77 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 132.43 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (184.13 juta), pembinaan (77.09 juta), teknologi (302.42 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.70 juta), hartanah (149.10 juta), perladangan (24.36 juta), REIT (13.36 juta), dana tertutup (20,100), tenaga (77.67 juta), penjagaan kesihatan (372.48 juta), telekomunikasi dan media (31.84 juta), pengangkutan dan logistik (22.04 juta), utiliti (64.91 juta), dan amanah perniagaan (6,400).

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, NPC Resources Bhd memaklumkan bahawa saham syarikat itu akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia berkuat kuasa 9 pagi, 11 Julai 2025, selaras dengan perenggan 16.07(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan