AM

PEMBANGKANG DIMINTA NAMAKAN DUA PAKAR SERTAI JAWATANKUASA KHAS INSIDEN PUTRA HEIGHTS

08/07/2025 03:26 PM

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor  bersetuju melantik dua pakar yang dinamakan oleh pihak pembangkang bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saluran Paip Gas bagi menjamin  ketelusan laporan membabitkan insiden letupan saluran gas Putra Heights, Subang Jaya. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membolehkan laporan yang telah dihasilkan disemak semula dan menamakan kekurangan yang timbul sekali gus bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan pihak yang perlu dipertanggungjawabkan ditemukan. 

"Kerajaan negeri juga bersedia untuk menerbitkan keseluruhan laporan ... kita sedang kumpulkan kerana ia melibatkan jabatan-jabatan, dalam tempoh dua minggu berakhir sidang dewan ini saya yakin cetakan akan disiapkan. 

"Kita juga akan bagi kepada penduduk di kawasan yang terkesan dahulu, termasuk seluruh ADUN dan mereka yang berminat untuk mengkaji perkara ini," katanya pada sesi penerangan khas insiden Putra Heights di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. 

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata kerajaan Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kebakaran insiden itu yang berlaku pada 1 April lepas. 

Beliau berkata jawatankuasa itu yang akan dianggotai oleh tujuh tenaga pakar bakal melibatkan pelbagai agensi, termasuk wakil kerajaan negeri, Persekutuan dan badan berkaitan seperti Petronas bagi meneliti hasil siasatan bagi merangka cadangan undang-undang dan langkah pencegahan jangka panjang.

Dalam pada itu, Amirudin pada sesi penerangan hari ini memaklumkan jawatankuasa khas itu diberi masa hingga tiga bulan untuk merangka cadangan yang berkaitan. 

"Bagi pihak kerajaan negeri, ia pasti melibatkan dasar, pihak berkuasa tempatan untuk menambah nilai terhadap kerja-kerja berkaitan, manakala kepada pihak pemunya paip gas seperti Petronas Gas atau  Gas Malaysia melihat kepada tambahan maklumat yang ada seperti faktor dan kawasan sekeliling tanah serta situasi melibatkan isu tanah," katanya. 

Amirudin turut mengulangi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan ketelusan penyampaian maklumat dan tidak akan melindungi atau menutup sebarang salah laku berhubung insiden daripada pengetahuan awam.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan