KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan limpahan peluang kepada kontraktor dan pembekal paip, jika gesaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) supaya industri pusat data beralih kepada sumber air alternatif dilaksanakan.
Dalam satu nota penyelidikan, firma pembrokeran itu berkata ia yakin dengan peralihan dalam struktur permintaan air daripada zon perindustrian dan koridor ekonomi khas, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang didorong oleh perkembangan pesat kampus pusat data dan kemudahan industri yang akan datang di Johor.
“Langkah ini memerlukan langkah pemetaan loji rawatan sisa air yang boleh disambungkan ke pusat data baharu.
“Projek sumber air lain yang dicadangkan bertujuan meningkatkan bekalan air mentah secara mampan termasuk kemudahan penyimpanan air luar sungai atau tongkang, penuaian air hujan, dan menggunakan air tebus guna untuk menjana sistem penyejukan pusat data,” katanya. bagi
Johor dilaporkan menerima permohonan 52 pusat data, hampir dua kali ganda diterima oleh Selangor iaitu 27, yang dijangka meningkatkan penggunaan air kepada 79 juta liter sehari (mld) menjelang 2032.
Rancangan pembinaan pusat data di beberapa daerah di Johor, dan projek oleh anak syarikat Ranhill Utilities Bhd, Ranhill SAJ Sdn Bhd dijangka menggunakan masing-masing sebanyak 440 mld dan 614 mld air menjelang 2035.
Sementara itu, CIMB Securities berkata ia percaya bahawa pengendali air berlesen di bawah SPAN, seperti Ranhill Utilities dan PBA Holdings akan menerima manfaat segera sebarang semakan tarif air yang dijangkakan pada separuh kedua 2025, termasuk cadangan kadar khas untuk pusat data.
Bank itu turut mengekalkan Gamuda sebagai pilihan utamanya bagi pembinaan infrastruktur berkaitan air.
“Kami menjangkakan projek pemindahan air Pulau Pinang-Perak akan bermula pada 2026, menawarkan prospek pekerjaan berjumlah RM4 bilion, selain peluang lain seperti inisiatif tenaga boleh ubah.
“Selepas memperoleh kontrak utama bagi Fasa 1 Skim Bekalan Air Rasau, Gamuda turut mengintai peluang kerja yang sama bagi projek bernilai RM300 juta di Selangor,” katanya.
-- BERNAMA