KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak prosiding komital yang difailkan Pejabat Peguam Negara (AGC) terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil berhubung kenyataan terbukanya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu setelah mendapati kenyataan yang dibuat Isham, atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil, tidak menimbulkan risiko sebenar untuk menjejaskan keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman.
"Tuduhan samar-samar bahawa responden (Isham) telah menghina badan kehakiman melalui kenyataan yang dipertikaikan, apabila dilihat berdasarkan fakta dan konteks penerbitan, kenyataan itu tidak mendedahkan risiko sebenar terhadap keyakinan orang awam terhadap pentadbiran keadilan. Justeru, pemohon (AGC) telah gagal membuktikan beban pembuktian (yang diperlukan).
"Penghinaan yang dibangkitkan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan mahkamah yang mengendalikan perbicaraan dan rayuan kes 1MDB serta SRC. Kes itu telah pun diputuskan oleh mahkamah. Sehubungan dengan itu, apa yang dahulunya boleh dianggap sebagai menghina atau mengganggu keadilan, mungkin tidak lagi dianggap begitu hari ini," kata hakim berkenaan.
Hakim Muniandy berkata undang-undang berkaitan penghinaan mahkamah bukanlah untuk melindungi hakim atau memelihara maruah mereka, tetapi juga untuk menjaga kepentingan awam dengan memastikan pentadbiran keadilan tidak dihalang atau dihina.
"Dengan kemunculan media sosial, kritikan terhadap hakim dan keputusannya sudah menjadi kelaziman, sebagaimana dinyatakan oleh responden dalam jawapannya terhadap notis tunjuk sebab.
"Sebagai hakim, ketahanan bukan sahaja sifat yang diingini, tetapi juga ia sebahagian daripada tugas suci kami. Tugas ini menuntut kami untuk mengadili kes dengan kebebasan mutlak, tanpa berat sebelah dan integriti yang tidak boleh dipertikaikan," kata Hakim Muniandy sambil menambah bahawa keadilan tidak boleh dipengaruhi tekanan luar atau desakan pendapat awam.
Beliau berkata walaupun kebebasan bersuara ialah asas demokrasi, pelaksanaannya mesti menghormati fungsi penting badan kehakiman.
"Kuasa menghukum penghinaan mahkamah amat perlu untuk mencegah gangguan atau halangan terhadap keadilan. Namun, penggunaannya hanya wajar untuk kes yang benar-benar menjejaskan pentadbiran keadilan, bukan semata-mata untuk menyekat perbezaan pendapat atau pandangan kritkal," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar manakala Isham diwakili peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Pada 4 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham, menerusi permohonan ex-parte yang difailkan pada 28 Dis 2023. Peguam Negara memohon perintah supaya Isham dihukum penjara atau denda kerana menghina.
Isham mengeluarkan kenyataan itu dalam satu temu bual bertajuk “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa” yang dilaporkan memberikan komen terhadap perbicaraan dan rayuan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.
Komen itu kemudian disiarkan menerusi laman Facebook "The Malaya Post" pada 30 Sept 2023.
Peguam Negara mendakwa kenyataan Isham itu turut mencabar proses penarikan diri Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan), yang ketika itu mengetuai perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi.
Selain itu, Peguam Negara mendakwa kenyataan Isham mencemarkan nama baik badan kehakiman dan mampu menghakis keyakinan rakyat terhadap insitusi berkenaan.
-- BERNAMA