LABUAN, 7 Julai (Bernama) -- Delegasi 20 wakil industri pelancongan daripada pelbagai agensi pengembaraan terlibat dalam jerayawara pelancongan perniagaan ke perniagaan (B2B) di Tashkent, Uzbekistan bulan lepas.
Ketua Majlis Perniagaan (Pelancongan) Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) untuk Labuan Jerry Teo berkata inisiatif itu bertujuan mempromosikan pakej pelancongan Malaysia serta produk pelancongan unik ‘5S’ Labuan, iaitu laut, matahari, pasir, kapal dan makanan laut.
“Jerayawara ini merupakan platform terbaik untuk menonjolkan kepelbagaian tarikan pelancongan Labuan. Kami berjaya mempamerkan bukan sahaja keindahan semula jadi dan tarikan marin, malah turut memperkenalkan konsep Pelancongan Kapal Persiaran Islamik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pakej berkenaan direka khusus untuk pelancong Muslim dan merupakan antara tawaran utama yang dipromosikan sepanjang sesi pembentangan.
“Para peserta juga mengambil bahagian dalam seminar pelancongan yang dihadiri oleh pengendali pelancongan tempatan dan pembeli pelancongan di Uzbekistan, memberikan gambaran mengenai kepelbagaian pengalaman pelancongan Malaysia, destinasi halal dan produk pelancongan khusus,” katanya.
Beliau berkata jerayawara berkenaan dijangka membuka peluang bagi kerjasama pelancongan yang lebih erat antara Malaysia dan Asia Tengah, terutamanya apabila Malaysia memposisikan diri sebagai destinasi pilihan bagi pelancong Muslim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
-- BERNAMA