AM

LADANG PERTANIAN BERTEKNOLOGI TINGGI, TERBESAR DI MALAYSIA DIBUKA

07/07/2025 06:12 PM

ISKANDAR PUTERI, 7 Julai (Bernama) -- Johor mencipta sejarah apabila melancarkan ladang menegak (vertical farming) dalam bangunan berteknologi tinggi terbesar di negara ini bagi penamanan sayur-sayuran berdaun berkeluasan lebih 50,000 kaki persegi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek bernilai RM40 juta itu merupakan usaha sama strategik antara FarmByte Sdn Bhd, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) dan syarikat teknologi pertanian dari Singapura, Archisen Pte Ltd.

Beliau berkata ladang tersebut turut ditanam sayuran seperi salad ice plant, terletak di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ia mula dibangunkan sejak 2023 dan kini telah siap sepenuhnya serta beroperasi di Taman Perindustrian Nusajaya di sini.

“Ini adalah satu pencapaian bersejarah untuk Johor, Malaysia dan Singapura. Apa yang kita mula rintis dua tahun lalu kini menjadi realiti. Ini bukan sekadar projek pertanian tetapi satu ekosistem baharu yang memberi nilai tambah kepada keselamatan makanan serantau,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek itu hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah FarmByte Archisen Vincent Wei, Pengerusi JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han.

Onn Hafiz berkata projek berkenaan turut menarik minat pelbagai pemain industri pertanian dari Malaysia dan Singapura yang hadir untuk meninjau potensi kerjasama masa depan.

FarmByte dan Archisen kini sedang berbincang dengan beberapa lagi syarikat bagi memperluaskan kerjasama dan membina ekosistem pertanian menegak lebih kukuh di rantau ini, katanya.

“Mereka turut merancang untuk memperluaskan operasi dan membina ekosistem menyeluruh dalam bidang vertical farming. Kita harap ini akan direalisasikan dalam masa terdekat dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Menurutnya, ladang itu dibangunkan hasil pemeteraian kerjasama pada 2024, menggabungkan infrastruktur berskala besar dengan sistem pertanian pintar bagi pengeluaran sayur-sayuran berdaun berkualiti tinggi sepanjang tahun.

Ladang berkenaan menggunakan kaedah persekitaran pertanian terkawal (CEA) bagi menanam hasil segar tanpa racun perosak serta tidak bergantung kepada keadaan cuaca, kata Onn Hafiz.

Beliau berkata pengeluaran hasil tahunan ladang itu diunjurkan mencecah 306,000 kilogram sekali gus menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara serta sasaran ‘30 by 30’ Singapura, bertujuan meningkatkan kadar pengeluaran makanan domestik sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan