AM

SPRM RANGKUL TIGA ANUGERAH ASEAN PR EXCELLENCE AWARDS 2025

07/07/2025 05:20 PM

 

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) --  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) berjaya merangkul tiga anugerah berprestij di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025 yang diadakan di Hotel Renaissance di sini, hari ini.

Tiga anugerah yang diterima adalah Anugerah Berlian bagi kategori ‘Best Crisis Management’ dan dua Anugerah Emas untuk kategori ‘Best Government PR’ serta kategori ‘Best Communication Use Of Social Media’.

Bagi ketiga-tiga kategori ini, BKS SPRM telah mengemukakan laporan khas berkaitan peranan mereka sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan krisis dalam penyiasatan kes mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang memenangi Anugerah Berlian.

Dua lagi laporan ialah pelan pengurusan media bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan merevolusikan promosi serta publisiti SPRM menerusi Kecerdasan Buatan (AI).

Hadiah bagi Anugerah Berlian telah disampaikan oleh Presiden ASEAN Public Relations Network (APRN), Prita Kemal Gani kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman manakala Anugerah Emas bagi kategori ‘Best Crisis Management’ diterima oleh Timbalan Pengarah BKS SPRM, Tuan Jules Rahman Ong dan ‘Best Communication Use Of Social Media’ diwakili Tuan Badrila Jamlus serta Tuan Azrai Mohammad.

The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025 dianjurkan oleh APRN yang berpangkalan di Jakarta dengan kerjasama Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) mengiktiraf pencapaian cemerlang sektor perhubungan awam di negara-negara ASEAN dan juga bersempena Persidangan PR Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP 7) yang diadakan setiap tahun.

Mengulas kemenangan SPRM, Dato’ Azmi berkata, anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada SPRM kerana perhubungan awam dan komunikasi bukan sekadar sokongan kepada Suruhanjaya ini tetapi adalah nadi kepada integriti serta kepercayaan dalam sesebuah organisasi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ASEAN PR Network, barisan panel hakim antarabangsa dan ASEAN, IPRM serta semua peserta yang hadir pada hari ini.

“Kami memikul tanggungjawab ini dengan penuh serius. Bahagian Komunikasi Strategik kami sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan melalui profesionalisme, konsistensi dan latihan berterusan.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap dedikasi dan semangat mereka. Bagi pihak SPRM, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas penghormatan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden APRN, Prita Kemal Gani berkata, anugerah ini mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang perhubungan awam di seluruh rantau ASEAN, meraikan kempen inovatif dan inisiatif berimpak yang telah menyumbang kepada kemajuan profesion ini.

Presiden IPRM, Jaffri Amin Osman pula berkata, tema persidangan KLIP 7 tahun ini ialah Kecerdasan Buatan (AI) Berimpak, Komunikasi Media Sosial dan Pendidikan Dalam Talian untuk ASEAN serta Komuniti Global. 

Dalam majlis yang sama, Universiti Teknologi MARA (UiTM), berjaya merangkul Anugerah Berlian bagi kategori ‘Excellence In PR Institution’.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan