AM

SHUN, MAHASISWA KEEMPAT USM JADI ANAK ANGKAT STEVEN SIM

07/07/2025 04:12 PM

GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Steven Sim hari ini menerima seorang lagi mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai anak angkat selepas mendengar kisah kehidupan mencabar yang dilalui pelajar tersebut.

Mahasiswa tahun dua itu, Shun Yong tinggal bersama neneknya yang berusia 87 tahun sejak ibunya meninggal dunia ketika dia berumur 14 tahun dan tidak pernah mengenali ayahnya sejak kecil.

Sim berkata meskipun mereka hidup bergantung kepada bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan (JKM), Shun bertekad untuk berjaya dalam pelajaran hingga mendapat ‘4 flat’ atau Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan ditawarkan tempat di USM.

“(Pinjaman) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak cukup untuk tanggung keseluruhan kos, jadi setiap kali cuti semester dia bekerja sambilan untuk menampung belanja harian serta kos sara hidup lain.

“Beberapa bulan lepas, dia hampir tidak dapat daftar semester kerana tidak mampu bayar yuran. Mujur ada seorang pakcik yang prihatin, Uncle Ooi yang selama ini banyak membantu makan minumnya sejak mula masuk USM, menghubungi saya dan memaklumkan tentang keadaan Shun,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Sim, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam bersetuju untuk membantu melangsaikan yuran semester Shun setelah mendengar kisah perjuangan hidupnya, sebelum mahasiswa tersebut menghantar mesej memberitahu komputer ribanya telah rosak dan semua dokumen penting tidak dapat diakses.

Justeru, beliau telah saya singgah sebentar di kampus USM untuk membawa Shun ke kedai bagi membelikan komputer baharu walaupun pelajar tersebut hanya meminta untuk membaikinya.

“Rupa-rupanya Uncle Ooi, yang tiada sebarang hubungan kekeluargaan dengan Shun, insan yang selama ini menjadi pelindung senyap buat Shun, telah membelikan komputer riba baharu untuknya kerana tidak sampai hati melihat anak muda itu terus bergantung pada komputer lama yang sudah uzur. 

“Hari ini saya pelawa Shun untuk menjadi anak angkat saya. Bukan sekadar bantuan kewangan tetapi sebagai tanda bahawa dia tidak keseorangan. Saya mahu dia tahu kita semua berdiri di belakangnya,” katanya.

Ia menjadikan Shun sebagai anak angkat yang keempat di kampus USM di sini bagi Sim.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan