SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) -- Lelaki warga Pakistan yang disyaki meliwat dan mencabul tiga kanak-kanak serta seorang remaja lelaki di Seksyen 27 dan Seksyen 28 di sini dipercayai masih berada dalam negara.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya masih dalam tindakan untuk mengesan serta menangkap suspek yang berusia 25 tahun itu.
“Setakat ini jumlah mangsa untuk kes ini kekal empat orang. Mangsa-mangsa yang terlibat didapati lebih kepada kepada pelajar sekolah atau kanak-kanak.
“Hasil siasatan lanjut mendapati modus operandi yang dilakukan adalah suspek akan bertindak memanggil mangsa dan menyuruh mereka mengambil barang di satu-satu tempat sebelum memeluk dari belakang serta mencekik mangsa jika melawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata suspek juga meminta mangsa membantu membuat tempahan e-hailing atau bertanyakan sesuatu, dan apabila mangsa leka, suspek akan menumbuk serta menarik mangsa dan membawanya ke tempat yang dirasakan boleh melakukan perbuatan liwat itu.
Semalam, Mohd Iqbal berkata polis sedang memburu seorang lelaki Pakistan dengan alamat terakhir di Seksyen 27 di sini kerana disyaki meliwat dan mencabul mangsa berusia sembilan, 13, 14 dan 19 tahun, bermula April hingga kini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA