EKONOMI

SST DAN TARIF BAHARU ELEKTRIK: LANGKAH STRATEGIK PERKUKUH KEWANGAN NEGARA

06/07/2025 10:33 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Ketika negara melangkah ke separuh kedua 2025, penyelarasan semula fiskal melalui peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan semakan tarif elektrik dilihat sebagai langkah strategik kerajaan untuk mengukuhkan kewangan sambil mengutamakan kebajikan rakyat.

Berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup, langkah-langkah tersebut termasuk pelbagai inisiatif diperkenalkan bertujuan untuk mengurangkan kesan, terutamanya bagi kumpulan isi rumah dan perniagaan kecil.

Daripada pengecualian cukai bagi perkhidmatan penjagaan diri seperti gunting rambut, rawatan muka dan rias wajah hinggalah kepada jangkaan bantuan tunai dan sistem tarif elektrik lebih progresif yang mana hanya kumpulan penggunaan lebih tinggi dikenakan caj lebih banyak, kerajaan mendengar dan memahami sentimen rakyat.

Bagi rakyat kebanyakan, kebimbangan yang menjelma pada mulanya kini beransur-ansur menjadi lebih optimis, memandangkan akan ada mekanisme sokongan untuk membantu mereka yang paling memerlukan.

 

Meskipun peluasan SST, rakyat masih boleh tarik nafas lega 

Kerajaan bercadang meluaskan SST meliputi lebih banyak perkhidmatan dan barangan import terpilih sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pendapatan.

Bagaimanapun, susulan sesi libat urus dengan orang ramai, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan pengecualian cukai bagi empat buah-buahan diimport yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia iaitu epal, oren, oren mandarin dan kurma.

Perdana Menteri juga menaikkan ambang pendaftaran SST untuk perkhidmatan pajakan dan kewangan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, yang memberi kelegaan kepada perniagaan yang lebih kecil.

Sementara itu, perkhidmatan seperti gunting rambut, rawatan muka dan rias kuku telah dikecualikan daripada skop SST yang diperluas, langkah yang amat dialu-alukan untuk membantu mengekalkan kemampuan penjagaan diri setiap hari.

“Langkah ini membantu mengekalkan keupayaan mampu beli barangan makanan utama dan menyokong kuasa beli isi rumah,” kata ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Satu lagi dasar utama yang akan berkuat kuasa bulan ini ialah semakan semula tarif elektrik yang melibatkan lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

Kadar baharu itu, berkuat kuasa dari 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027, berada di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Suruhanjaya Tenaga telah menetapkan Kadar Purata Tarif Asas pada 45.40 sen sekilowatt-jam, lebih rendah sedikit daripada 45.62 sen yang diluluskan pada Disember 2024.

Pelarasan ini dijangka mengurangkan kos elektrik keseluruhan sambil menggalakkan tabiat penjimatan tenaga, terutamanya semasa waktu luar puncak.

 

Ketidaktentuan global terus beri cabaran besar

Walaupun pembaharuan yang dilakukan dalam negara, ketidaktentuan global terus mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia.

Mohd Afzanizam berkata memandangkan tarikh penangguhan sementara tarif timbal balik Amerika Syarikat akan berakhir pada 9 Julai ini tekanan ke atas eksport Malaysia akan meningkat sekiranya Washington mengenakan semula duti yang tinggi.

Bagaimanapun, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah memberi isyarat kemungkinan melanjutkan lagi penangguhan, satu langkah yang boleh memberi kelegaan sementara kepada pengeksport Malaysia, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik, minyak sawit, getah dan jentera.

Pakar ekonomi berpandangan penangguhan seterusnya akan mencerminkan pendirian perdagangan AS yang lebih wajar dan boleh membantu menstabilkan sentimen pasaran global, terutamanya bagi ekonomi sedang pesat membangun dalam menangani inflasi, turun naik mata wang dan risiko geopolitik.

Pada masa yang sama, ketegangan yang berterusan di Timur Tengah terus menyebabkan turun naik harga minyak, menambah tekanan kepada usaha rasionalisasi subsidi bahan api Malaysia.

Ketidaktentuan harga minyak global boleh meningkatkan kos pengguna dan seterusnya menyukarkan langkah pelaksanaan pembaharuan subsidi.

 

Langkah-langkah bantuan dan kedudukan kukuh fiskal

Walaupun reformasi fiskal kerajaan menjurus ke arah kestabilan jangka panjang namun sentimen awam sensitif terhadap isu kos sara hidup.

Kesan pelaksanaan cadangan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 dan impak penuh SST dan pelarasan elektrik ke atas tingkah laku pengguna masih belum dapat dipastikan lagi namun terdapat sedikit petanda kelegaan.

Mohd Afzanizam berkata mungkin ada ruang untuk pelonggaran monetari, termasuk potensi penurunan 25 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seawal bulan ini (9 Julai).

Keputusan BNM pada Mei untuk mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun sebanyak 100 mata asas telah menyuntik kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan, menyediakan kecairan untuk menyokong aktiviti ekonomi.

"Dari segi fiskal, pendekatan berdisiplin kerajaan nampaknya membuahkan hasil. Defisit fiskal mengecil kepada RM22 bilion atau 4.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada suku pertama 2025, turun daripada RM26 bilion atau 5.7 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Penjimatan daripada rasionalisasi subsidi diesel dan pembaharuan SST yang diperkenalkan pada 2024 telah membuka ruang fiskal, membolehkan kerajaan meningkatkan bantuan bersasar. Gabungan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah dinaikkan kepada RM13 bilion tahun ini daripada RM10 bilion pada 2024.

"Langkah pengimbangan berhemat ini menyokong keyakinan pelabur dan membantu mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia," katanya.

Agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s, S&P dan Fitch dijangka mengekalkan penarafan kedaulatan semasa Malaysia, yang akan menjadi faktor penting menarik pelaburan asing jangka panjang.

Ketika rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan persekitaran fiskal baharu ini, bulan-bulan akan datang akan menguji bukan sahaja daya tahan isi rumah tetapi juga keupayaan kerajaan untuk mengekalkan pembaharuan dan dalam masa yang sama melindungi kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan