EKONOMI

PM ANWAR GESA LONJAKKAN PERDAGANGAN INTRA-BRICS, PERJUANGKAN ORDE DUNIA YANG ADIL, SAKSAMA

05/07/2025 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru lonjakan perdagangan intra-BRICS dan seterusnya perkumpulan itu muncul sebagai satu kuasa yang kuat dan berprinsip, berteraskan keadilan, saling menghormati serta komitmen bersama untuk membentuk orde antarabangsa yang lebih seimbang dan adil.

Ketika menyuarakan kekecewaan mengenai tindakan tarif unilateral dan dasar perlindungan, Anwar juga menyatakan keyakinan bahawa BRICS, yang kini membentuk hampir 40 peratus daripada ekonomi global, memiliki potensi besar untuk melonjakkan perdagangan dalam kalangan negara anggotanya.

“Berasaskan kekuatan kolektif ini, kita boleh bekerjasama dengan dunia secara terjamin, saksama dan adil, serta berunding berlandaskan terma-terma setara dengan semua rakan dalam sistem multilateral,” kata beliau semasa berucap di Forum Perniagaan BRICS bertajuk ‘Menghubungkan Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan’ di Rio De Janeiro, Brazil, pada Sabtu.

Hadir sama ialah Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin dan Presiden Konfederasi Industri Kebangsaan (CNI) Brazil Ricardo Alban.

Beliau turut menekankan keperluan untuk mereformasi institusi-institusi antarabangsa utama.

“Kita perlu menuntut transformasi struktur tadbir urus global, merangkumi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Perdagangan Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia ke arah orde multilateral yang lebih demokratik dan adil,” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan dengan penuh yakin bahawa negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai pemain pinggiran dalam sistem global. 

“Kita bukan sekadar pewaris sejarah pascapenjajahan. Kita kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia.

“BRICS hari ini melangkaui retorik politik. Ia adalah gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bergerak seiring dalam menuntut sistem global yang lebih adil dan saksama,” kata beliau.

Keunikan BRICS terserlah dengan penyertaan aktif sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani, menjadikan perjuangan itu bukan sekadar wacana elit malah juga gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan, kata beliau.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berkongsi aspirasi tersebut.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata anggota BRICS dan ASEAN juga perlu terus mempererat kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.

BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan usaha lalu sebaliknya detik kebangkitan baharu, katanya.

Anwar berkata berlandaskan kepimpinan politik yang berwawasan, sektor swasta yang progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, BRICS mempunyai peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap Lula serta memujinya sebagai antara segelintir pemimpin dunia yang berani pada hari ini untuk bersuara mewakili kalangan yang terpinggir dan suara mereka tidak didengari.

Kumpulan BRICS -- yang berfungsi sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara di Selatan Global dan untuk kerjasama merentas pelbagai sektor -- pada awalnya dianggotai Brazil, Rusia, India dan China.

Perkumpulan itu kemudiannya berkembang dengan kemasukan Afrika Selatan pada 2011, diikuti Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023, dan Indonesia pada 2024.

Malaysia, serta Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan, telah diterima sebagai Negara Rakan BRICS.

Anwar berada di Rio De Janeiro, Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang dianjurkan oleh Brazil atas jemputan Lula.

Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man; dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan