AM

KONTRAKTOR DIBERI TEMPOH HINGGA ESOK BAIKI JALAN ROSAK DI LEBUH RAYA PASIR GUDANG - EXCO

05/07/2025 11:46 AM

JOHOR BAHRU, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor memberi tempoh sehingga esok kepada kontraktor terlibat dalam projek pelebaran jalan di Lebuh Raya Pasir Gudang untuk menyegerakan kerja-kerja pembaikan kerosakan jalan di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pembaikan perlu dilakukan dengan turapan penuh dan bukan sekadar tampalan sementara, bagi memastikan jalan kekal selamat dan tidak lagi berlubang.

“Selepas menerima banyak aduan mengenai keadaan jalan berlubang dan gelap di Lebuh Raya Pasir Gudang, saya turun padang melihat sendiri isu ini.

“Memang terdapat kawasan dengan permukaan jalan yang berlubang serta membahayakan pengguna, selain kawasan yang gelap. Ia berlaku di lokasi projek pelebaran jalan daripada empat lorong kepada enam lorong,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengarahkan agar seluruh kawasan projek dilengkapi pencahayaan yang mencukupi dan bukan hanya bergantung pada lampu ‘blinker’ di sesetengah lokasi, demi menjamin keselamatan pengguna.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan