AM

ESSCOM TERUS CEMERLANG, BAWA LIMPAHAN MANFAAT KEPADA MASYARAKAT ESSZONE

04/07/2025 08:56 PM

TAWAU, 4 Julai (Bernama) -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan 14 tahun lepas mengekalkan prestasi cemerlang, bukan hanya mewujudkan keamanan tetapi membawa limpahan manfaat kepada masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ESSCOM kekal dengan tugas hakiki mewujudkan keamanan, dan melalui itu banyak perancangan kerajaan dapat dilaksanakan termasuk Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Inderasabah di sini.

“ESSCOM dengan peruntukan RM1 juta memilih Kampung Inderasabah ini untuk diturunkan beberapa projek infrastruktur fizikal dan bukan fizikal,” katanya selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI ESSCOM di Kampung Inderasabah di sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan RM200 juta peruntukan bagi pelaksanaan program berkenaan pada tahun ini, yang melibatkan 200 kampung di seluruh negara termasuk 12 atau 13 kampung di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata pemilihan Kampung Inderasabah dilakukan berdasarkan beberapa justifikasi penting termasuk cabaran keselamatan unik yang dihadapi.

Beliau berkata justifikasi itu turut dilihat daripada aspek potensi kemajuan ekopelancongan dan perikanan serta kedudukan geografi kampung yang hampir dengan sempadan perairan negara jiran Indonesia.

“Kementerian Kewangan bersetuju dengan cadangan ESSCOM dan meluluskan RM1 juta pada 1 Mac 2025… beberapa projek mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan iaitu pembinaan pintu gerbang masuk ke kampung, naik taraf astaka, dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Inderasabah, gelanggang futsal dan Masjid Al-Furqon.

“Projek lain termasuk naik taraf dan pemasangan lampu solar jalan kampung, membaik pulih titian kampung, jeti di pangkalan, kawasan Taska KEMAS dan gereja, di samping melaksana program bersama komuniti setempat,” katanya.

Jamaluddin berkata ESSCOM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau dan GiatMARA Tawau selaku agensi pelaksana akan memastikan projek terbabit berjalan lancar dan diberikan keutamaan supaya dapat disiapkan pada tahun ini.

“ESSCOM juga berharap melalui inisiatif ini dapat memperkasa lagi jalinan antara ESSCOM dan masyarakat di ESSZone, sekali gus menjadikan kawasan Sabah Timur terus aman, sejahtera dan berdaya tahan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sejak 14 tahun lepas, komuniti Kampung Inderasabah menjadi rakan strategik bagi ESSCOM sama ada dalam aspek pencegahan jenayah rentas sempadan termasuk penglibatan dalam program kemasyarakatan.

“Saya mewakili penduduk di kawasan Apas mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan inisiatif sebegini kerana kami yakin ia bakal membawa perubahan progresif dan menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan prasarana di kawasan kampung dapat ditambah baik,” katanya, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan