LABUAN, 4 Julai (Bernama) -- Hampir seribu pengunjung membanjiri Labuan Liberty Wharf hari ini untuk merasai pengalaman berada atas kapal Doulos Hope yang mempunyai perpustakaan terapung terkenal di dunia.
Doulos Hope akan berlabuh dari 3 hingga 27 Julai dan orang ramai berpeluang mengunjungi perpustakaan itu setiap hari dari 1 petang hingga 9 malam, kecuali pada Isnin.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) Idjal Tahir berkata respons yang diterima amat memberangsangkan dan kerjasama diberikan Perbadanan Labuan (LC) membantu melancarkan lagi urusan pengendalian pengunjung.
“Kami memastikan laluan yang mudah, penyediaan kawasan menunggu, serta menyediakan perkhidmatan ulang-alik bagi pengunjung,” katanya.
Idjal berkata polis bantuan Megah Port Management turut memantau keadaan serta menambah anggota untuk membantu orang ramai dan pengurusan logistik.
Perpustakaan terapung itu satu lagi daya tarikan dalam kalendar pelancongan dan pendidikan serta kepada pencinta buku di Labuan.
-- BERNAMA