JENAYAH & MAHKAMAH

HAKIM ROZ MAWAR MENARIK DIRI DARIPADA MENDENGAR KES SAMAN TERHADAP BEKAS PEGUAM NEGARA

04/07/2025 02:20 PM

PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas untuk mengetepikan Hakim Mahkamah Tinggi daripada terus mendengar saman Tan Sri Shahrir Abdul Samad terhadap beliau berhubung dakwaan pendakwaan berniat jahat.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Supang Lian, Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Pada Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain telah menolak permohonan Thomas agar beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Faizah yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel berkata, wujudnya risiko sebenar berlaku berat sebelah sekiranya Hakim Roz Mawar terus mendengar kes berkenaan, meskipun ia mungkin tidak disengajakan.

"Hakim Mahkamah Tinggi yang arif itu perlu menarik diri daripada mendengar semua prosiding akan datang dan perbicaraan dalam kes saman sivil tersebut," katanya.

Hakim Faizah berkata dapatan dan ulasan Hakim Mahkamah Tinggi semasa membuat keputusan terhadap permohonan Thomas untuk membatalkan saman menunjukkan pandangan beliau terhadap merit kes Shahrir terhadap Thomas.

“Sebagai seorang pemerhati yang berpengetahuan dan bersikap adil, berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, kami berpendapat dapatan dan ulasan tersebut menimbulkan risiko sebenar berlakunya berat sebelah oleh hakim yang arif itu,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan supaya kos guaman sebanyak RM30,000 dibayar kepada Thomas bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada Julai tahun lepas, Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman Shahrir dan memutuskan bahawa kes tersebut perlu dibicarakan sepenuhnya.

Shahrir telah memfailkan saman terhadap Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan Kerajaan Malaysia.

Saman yang difailkan oleh bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkaitan cek bernilai RM1 juta yang diterimanya daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas, yang menjawat jawatan Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, menafikan dakwaan Shahrir mengenai penyalahgunaan kuasa dan menyifatkannya sebagai “tidak berasas”.

Thomas turut menjelaskan bahawa beliau telah meletak jawatan pada 28 Feb 2020, manakala perbicaraan jenayah terhadap Shahrir bagi pertuduhan berkenaan hanya bermula pada 26 Julai 2022.

Pada 5 Jan 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin telah melepas dan membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan