KLANG, 4 Julai (Bernama) -- Pulau Ketam yang sebelum ini berdepan cabaran liputan Internet yang lemah, kini boleh menarik nafas lega selepas Projek Stingray II yang siap dilaksanakan pada November 2023 dan mula beroperasi awal tahun 2024 mula menunjukkan impak besar kepada lebih 6,000 penduduknya, termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Projek pemasangan kabel dasar laut sepanjang 34.58 kilometer ke Pulau Ketam yang membolehkan capaian rangkaian Internet berkelajuan tinggi di pulau berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Telekom Malaysia (TM) selaku penyedia perkhidmatan yang dilantik melaksana inisiatif ini.
Usaha itu menjadi pemangkin dan membuka laluan kepada transformasi digital lebih menyeluruh di Pulau Ketam.
Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Ketam Richard Wang Kheng Hwa, 59, berkata kualiti Internet kini jauh lebih baik dan stabil walaupun dalam keadaan cuaca buruk sekali gus memberi manfaat besar kepada kehidupan harian penduduk.
Beliau berkata transformasi itu, bukan hanya menggembirakan penduduk, malah turut merancakkan sektor perniagaan di pulau berkenaan.
"Apabila Internet telah stabil, rata-rata peniaga di Pulau Ketam mula menawarkan kaedah bayaran tanpa tunai bagi memudahkan pelanggan berbanding sebelum ini yang hanya bergantung kepada sistem pembayaran secara tunai yang menyebabkan urus niaga menjadi terhad, khususnya apabila melibatkan pelancong asing.
"Sektor pelancongan juga semakin memberangsangkan. Mengikut data terkini, kami menerima lebih 5,000 pengunjung pada hujung minggu hasil daripada inisiatif hebahan menggunakan platform media sosial," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pemilik Warung D' Pulau Saslinawati Jali, 41, berkata kelajuan Internet dan capaian yang lebih luas membolehkan beliau meningkatkan jualan sate di kedainya apabila menggunakan kemudahan jualan secara dalam talian, dibantu kaedah bayaran tanpa tunai yang diguna pakai.
Beliau berkata sebelum ini keuntungan yang diraih agak terhad memandangkan kebanyakan pelanggan dalam kalangan pelancong tidak membawa jumlah wang tunai yang banyak ketika berkunjung ke Pulau Ketam.
"Sebelum Projek Stingray II siap sepenuhnya, saya pernah cuba menawarkan bayaran secara QR, namun rata-ratanya gagal kerana masalah Internet yang agak lemah dan keadaan itu menyebabkan pelanggan tidak membuat pesanan yang banyak.
"Saya kini dalam usaha menghasilkan video hebahan bagi tujuan promosi di media sosial dengan harapan dapat menambah pendapatan untuk keluarga," katanya.
Beliau berkata pengukuhan akses Internet berkelajuan tinggi di pulau itu secara keseluruhan dapat mengubah landskap ekonomi, pelancongan, sosial termasuk pendidikan dan urusan harian penduduk yang sebahagian besarnya bekerja sebagai nelayan.
Projek Stingray II yang diterajui oleh MCMC dan TM ini sebahagian daripada usaha menyokong agenda transformasi digital negara.
Ia melibatkan sambungan gentian optik berkelajuan tinggi bermula dari Node TM di Kapar ke Jeram, sebelum merentasi laut ke Node TM di Pulau Ketam.
Projek ini bukan sahaja membawa manfaat secara menyeluruh kepada penduduk setempat, malah membolehkan 245 baki pengguna perkhidmatan legasi Internet berasaskan tembaga beralih kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang disediakan oleh TM melalui Unifi.
-- BERNAMA