JENAYAH & MAHKAMAH

PGA SERBU LOMBONG EMAS HARAM, RAMPAS BARANGAN BERNILAI LEBIH RM1 JUTA

03/07/2025 07:17 PM

KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan kegiatan perlombongan emas haram di Kampung Pulai, Gua Musang, melibatkan rampasan aset dan peralatan bernilai lebih RM1 juta dalam Operasi Bersepadu Khazanah, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata operasi terbabit dilaksanakan oleh anggota Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa bersama pegawai daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kota Bharu, susulan risikan dan aduan awam mengenai aktiviti melombong secara haram di kawasan berkenaan.

"Serbuan dilakukan pada 11 pagi dan pasukan operasi menjumpai sebuah khemah dalam keadaan mencurigakan di ladang kelapa sawit berhampiran kaki bukit.

"Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jentera berat dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan tanpa kebenaran. Antara barangan yang dirampas ialah tiga jengkaut pelbagai jenis tanpa nombor pendaftaran, tiga unit pam penyedut air, tiga unit palong serta empat keping karpet palong dengan anggaran keseluruhan mencecah RM1.09 juta," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata tiada tangkapan dilakukan dalam operasi itu kerana kawasan berkenaan dipercayai telah ditinggalkan sebelum ketibaan pasukan serbuan, malah pemerhatian selama satu jam juga tidak membawa kepada kehadiran mana-mana individu di lokasi.

"Siasatan awal mendapati lombong berkenaan telah beroperasi secara haram selama kira-kira enam bulan lepas.

"Rampasan diserahkan kepada pihak PTG Kota Bharu untuk tindakan lanjut termasuk mengesan pemilik jentera yang terlibat dan akan disiasat di bawah Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan