AM

PERKUKUH SEMPADAN NEGARA, "VAPE" WAJAR DIHARAMKAN - SULTAN ABDULLAH

03/07/2025 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Sempadan negara perlu diperkukuh bagi membanteras isu penyeludupan dadah yang semakin membimbangkan, titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah kawalan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat perlu diperketat kerana ia dikenal pasti sebagai antara laluan utama kemasukan bekalan dadah ke dalam negara.

“Pokoknya, punca tu datang dari mana? Perlu memperkukuh sempadan … . Itu yang puncanya. Baik di sempadan ataupun terminal lapangan terbang,  kapal … semua ini memerlukan pengawasan rapi,” titah baginda dalam pertemuan bersama barisan kepimpinan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini pada Rabu.

Barisan kepimpinan PERTAMA diketuai Presidennya Sariha Mohd Ali, Timbalan Presiden Nasriah Darus, Setiausaha Nor Hasliza Abdullah, Bendahari M. Saraswathi serta ahli jawatankuasa lain.

Al-Sultan Abdullah turut menyuarakan kebimbangan terhadap penularan gejala dadah dalam kalangan belia dan menekankan bahawa penguatkuasaan sedia ada perlu diperkukuh supaya undang-undang yang digubal benar-benar memberi kesan.

Baginda juga memaklumkan bahawa wujud trend baharu dalam penyeludupan dadah menggunakan kapal nelayan di tengah laut sekali gus mewujudkan keperluan mendesak untuk pengawasan lebih menyeluruh terutama di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pada November tahun lepas, baginda dilaporkan bertitah angka penagih dadah di Pahang berada pada tahap amat membimbangkan.

Angka yang dipersembahkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah sebanyak 11,750 penagih aktif.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan sokongan terhadap langkah mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara, memandangkan kesan buruknya terhadap kesihatan dan masa depan generasi muda.

Vape ini patut diharamkan secara menyeluruh. Jangan rasa simpati, kita akan memudaratkan lagi bangsa kita,” titah baginda sambil menambah bahawa negeri Pahang telah mengambil langkah awal ke arah pengharaman berkenaan.

Baginda bertitah pelaksanaan pengharaman rokok elektronik di Pahang akan melalui proses di Dewan Undangan Negeri bagi penggubalan undang-undang berkaitan, sebelum dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekarang kita dalam proses untuk memberi kefahaman kepada rakyat bahawa vape ini bahan larangan. Ia hanya tunggu masa untuk dikuatkuasakan,” titah baginda. 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pahang pada Jun lepas bersetuju mengharamkan penggunaan rokok elektronik di negeri itu berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Pahang, menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan