DUNIA

KEMBOJA, SINGAPURA IKRAR PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

02/07/2025 08:44 PM

PHNOM PENH, 2 Julai (Bernama) -- Kemboja dan Singapura berikrar untuk membawa hubungan dua hala mereka yang terjalin selama 60 tahun ke tahap lebih tinggi dalam usaha memacu kemakmuran ekonomi kedua-dua negara.

Perdana Menteri Hun Manet dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, bersetuju mengekalkan hubungan diplomatik kukuh itu semasa pertemuan di Istana Keamanan di Phnom Penh hari ini.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan serta bersetuju untuk terus memperkukuh dan memperluas kerjasama dalam beberapa bidang utama.

“Dalam rangka kerja pelbagai hala, kedua-dua pemimpin turut berbincang dan bertukar pandangan mengenai kerjasama dalam kerangka serantau dan antarabangsa demi kepentingan negara dan rakyat masing-masing,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Pejabat Perdana Menteri Kemboja.

Lawrence Wong berada di Kemboja untuk lawatan sehari sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini.

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh beberapa bidang utama termasuk perdagangan, pelaburan dan kewangan, hubungan antara rakyat, pertahanan dan keselamatan, pertanian, keselamatan makanan dan tenaga, serta latihan kemahiran dan vokasional.

Terdahulu hari ini, Wong turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senat Hun Sen di Istana Senat.

Semasa pertemuan itu, Hun Sen mencadangkan agar Singapura meningkatkan sambungan penerbangan ke Kemboja memandangkan negara itu bersiap sedia untuk merasmikan Lapangan Terbang Antarabangsa Techo yang baharu, menurut laporan Fresh News.

Lapangan terbang baharu itu, terletak kira-kira 30 kilometer di selatan Phnom Penh, dijadual memulakan operasi pada September tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan