AM

KPF CATAT PRESTASI BAIK, UMUM DIVIDEN 6 PERATUS BERJUMLAH RM129 JUTA

02/07/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mengumumkan agihan dividen enam peratus kepada 253,371 anggotanya, melibatkan jumlah keseluruhan RM129 juta susulan pencapaian baik yang dicatat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024. 

KPF hari ini memaklumkan pengumuman itu mencerminkan pertumbuhan positif prestasi kewangan KPF hasil aktiviti perniagaan dan pelaburan pelbagai sektor yang berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM141,183 juta, berbanding RM52,781 juta pada tahun sebelumnya.

“Permohonan pengeluaran dividen dibuka mulai 30 Jun hingga 29 Julai 2025 melalui sistem e-Dividen atau secara manual.

“Bayaran akan dikreditkan secara berperingkat ke akaun bank anggota bermula 10 Julai 2025, tertakluk kepada permohonan yang lengkap melalui pautan https://dividen.kpf.my/,” menurut KPF dalam kenyataan.

Menurut KPF, pengumuman dilakukan Pengerusi KPF Datuk Mohd Banuri Aris dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) KPF Ke-44 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Melawati pada 26 Jun lepas, dengan kehadiran 1,207 perwakilan seluruh negara.

Mohd Banuri dalam kenyataan sama berkata pembayaran dividen tahun ini mencerminkan komitmen KPF kepada anggota melalui peningkatan hasil membolehkan agihan dividen dapat dibuat sepenuhnya berdasarkan keuntungan bersih semasa.

Menerusi mesyuarat itu juga, KPF memaklumkan pelaksanaan pelan rasionalisasi aset pelaburan yang dirangka bagi memenuhi permintaan pengeluaran modal syer oleh anggota, di samping menjana pendapatan mampan jangka panjang melalui penjualan aset perladangan dan hartanah yang tidak berpotensi, serta penstrukturan aset pelaburan dalam syarikat bersekutu.

Menurut Mohd Banuri, pelan itu bukan sahaja dirangka untuk menyantuni obligasi pengeluaran modal syer anggota malah menjadi strategi jangka panjang bagi menyusun semula struktur aset KPF secara lebih mampan, efisien dan strategik.

“KPF yakin bahawa pendekatan ini mampu memperkukuh kedudukan kewangan KPF serta menjamin kelangsungan kesejahteraan anggota dalam jangka panjang,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan perwakilan yang hadir menzahirkan rasa syukur atas peningkatan kadar dividen tahun ini dan menyatakan keyakinan terhadap hala tuju pengurusan KPF.

Selain itu, mereka turut berharap kecemerlangan prestasi itu dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat seluruh anggota.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan