KUCHING, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bersedia untuk menawarkan biasiswa kepada anak negeri berkenaan, yang berminat menceburi kerjaya keselamatan melanjutkan pengajian mereka di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mengembangkan bakat yang dimiliki anak-anak muda bagi memenuhi keperluan keselamatan.
“Sekurang-kurangnya mereka ada disiplin… disiplin dan juga teori-teori keselamatan yang baharu. Bukannya kita hendak menubuhkan tentera kita sendiri tetapi soal latihan bakat. Mereka kemudiannya boleh bekerja dengan polis, dengan tentera atau bekerja dengan kita di UKPS (Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak),” katanya.
Berucap di Majlis Pelancaran Sarawak Command Net (SCNET) bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelapan UKPS di sini malam ini, beliau berkata penubuhan UKPS bukan bertujuan untuk mengambil alih kuasa keselamatan daripada Kerajaan Persekutuan tetapi lebih kepada melengkapi keperluan negeri itu.
“Kuasa keselamatan berada di bawah Kerajaan Persekutuan. Kita hanya membantu dengan kadar yang ada supaya kita rasa selamat dengan adanya koordinasi di antara agensi keselamatan yang di bawah kerajaan pusat,” katanya.
Abang Johari berkata Sarawak memiliki kawasan pesisiran laut yang sangat panjang dan ini memberikan satu cabaran untuk dipantau sepenuhnya oleh agensi-agensi keselamatan di bawah Kerajaan Persekutuan dan perlu dibantu kerajaan negeri.
Beliau berkata negeri itu juga memiliki banyak sungai yang tidak termasuk di bawah kawalan agensi penguatkuasaan Persekutuan dan perkara ini dapat ditangani menerusi penubuhan Pengawal Pantai Sarawak (SCG) yang ditubuhkan pada 2019.
“Kerja kita sekarang adalah membantu untuk kita sama-sama menjadikan Sarawak sebagai sebuah kawasan yang aman dan makmur,” katanya.
Beliau berkata pelancaran SCNET adalah satu langkah permulaan untuk Sarawak membentuk jaringan komunikasi keselamatan yang lebih canggih sebagai sebahagian daripada inisiatif mempertahankan keamanan negeri itu.
“Kita boleh bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab demi kedaulatan negara Malaysia… ini yang penting. Kedaulatan negara Malaysia,” tambahnya.
-- BERNAMA