KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd akan memperoleh tiga buah tanah di Selangor berharga RM112.79 juta untuk meningkatkan bank tanah di lokasi strategik bagi pertumbuhan masa depannya.
Kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata subsidiari milik penuh tidak langsungmya, Senandung Raya Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) engan Sunrise Bright City Sdn Bhd untuk memperoleh tanah pegangan bebas bernilai RM59.07 juta.
Tanah berkeluasan 1.57 hektar itu terletak di Batu 9 Jalan Kuchai, Petaling, Selangor dan ia merupakan tanah pertanian yang kini kosong.
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia yang berasingan, Kerjaya Prospek menyatakan bahawa Senandung Raya juga telah memeterai dua SPA berasingan dengan syarikat berkaitan Sunrise, Top Up Properties Sdn Bhd bagi memperoleh dua buah tanah pegangan bebas berkedudukan sebelah-menyebelah pada harga RM53.72 juta.
Kedua-dua tanah yang berkeluasaan masing-masing 0.698 hektar dan 0.728 hektar itu turut terletak di Batu 9, Jalan Kuchai.
Kerjaya Prospek berkata cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada pengembangan perniagaan kumpulan dalam segmen pelaburan hartanah untuk meningkatkan bank tanahnya di lokasi strategik dengan potensi pertumbuhan bagi meningkatkan portfolio segmen pembangunan hartanahnya.
"Penggunaan tanah tersebut belum ditentukan pada masa ini. Nilai pembangunan kasar dan kos pembangunan yang dijangkakan di tanah-tanah berkenaan adalah tertakluk kepada pelbagai faktor," katanya lagi.
-- BERNAMA