ALOR SETAR, 1 Julai (Bernama) -- Kadar pengulangan banduan yang mengikuti program pemulihan dalam komuniti (PDK) pada 2024 adalah 0.28 peratus, sekali gus menunjukkan kejayaan signifikan terhadap pelaksanaan program berkenaan.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang berkata kadar itu jauh lebih rendah berbanding banduan yang tidak mengikuti program berkenaan iaitu sekitar 11.6 peratus.
“… adalah menjadi hasrat kita dan kerajaan untuk melihat dan menambah tahap keberkesanan PDK ini. Bagi menjayakan program itu, kita perlukan kerjasama erat daripada masyarakat khususnya pemain-pemain industri negara untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada prospek kita.
“Setakat ini, sebanyak 689 pemain industri yang berdaftar untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara seluruh negara di bawah PDK… kita jangka jumlah itu akan bertambah sehingga hujung tahun ini,” katanya selepas Majlis Serah Tugas Pengarah Penjara Negeri Kedah di Dewan Serbaguna Penjara Pokok Sena di sini hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Komisioner Penjara C. Charin Promwichit dilantik menjadi Pengarah Penjara Negeri Kedah yang baharu menggantikan Timbalan Komisioner Penjara Rahmat Abdul Rani yang dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Profesionalisme Penjara berkuat kuasa hari ini.
Ahmad Faudzi berkata setakat ini, lebih 7,500 peluang pekerjaan disediakan oleh pihak industri yang merangkumi beberapa sektor utama antaranya perkhidmatan, perdagangan, perhotelan dan perladangan.
“Melihat kepada sambutan ini, kita menyasarkan jumlah peluang pekerjaan itu akan meningkat kepada 10,000 sehingga hujung tahun ini berbanding sasaran awal iaitu 8,500. Banyak lagi pemain industri yang berminat untuk bekerjasama dengan kita, jadi sasaran itu boleh dicapai,” katanya.
-- BERNAMA