EKONOMI

BUTIRAN TERPERINCI RASIONALISASI SUBSIDI RON95 SEDANG DIMUKTAMADKAN - AMIR HAMZAH

01/07/2025 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- - Kerajaan sedang menumpu untuk memuktamadkan butiran terperinci rasionalisasi subsidi RON95, yang akan bermula pada separuh kedua tahun ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, sama seperti diesel, matlamat merasionalisasi subsidi RON95 adalah untuk membendung ketirisan dan memastikan perniagaan serta golongan kaya menyumbang bahagian yang saksama.

“Ini supaya kita mempunyai kekuatan fiskal untuk menjamin subsidi kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya.

“Pendekatan teliti yang sama digunakan untuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) -- ia mempelbagaikan hasil (kerajaan) dan merupakan sebahagian daripada pengurusan perbelanjaan berhemat,” katanya dalam ucap tama pada Persidangan Invest ASEAN-Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan terus komited terhadap penyatuan fiskal memandangkan negara telah mencapai nisbah defisit belanjawan berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.1 peratus tahun lalu, lebih baik daripada sasaran rasmi 4.3 peratus.

Menurutnya, kerajaan kini menyasarkan defisit fiskal 3.8 peratus bagi 2025 yang selari dengan sasaran Akta Kewangan dan Tanggungjawab Awam 2023 untuk mengurangkan defisit kepada tiga peratus dalam tempoh sederhana.

“Ini akan dicapai melalui langkah meningkatkan hasil, kecekapan sistem cukai dan pematuhan pembayar cukai. 

"Tahun ini kita melaksanakan peluasan SST dan rasionalisasi subsidi RON95, dan diharapkan ia akan menambah asas hasil negara bagi tempoh itu," katanya.

Beliau berkata kerajaan yakin akan mendapat tambahan hasil RM10 bilion daripada peluasan SST walaupun terdapat beberapa pengecualian tambahan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan lebih pragmatik, berhemat dan juga memacu kesinambungan kemajuan negara.

"Walaupun masih terlalu awal untuk berkongsi butirannya, saya boleh katakan bahawa ia akan menjadi satu lagi usaha kerajaan untuk menjamin masa depan ekonomi kita, bertindak balas terhadap halangan ekonomi dan membina masyarakat yang lebih adil dan saksama," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa pembaharuan lain yang sedang dalam perancangan yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi, membina kredibiliti dan memperkasa tadbir urus.

“Ini termasuk pembaharuan kehakiman dan institusi, pembaharuan sektor fiskal dan awam, pembaharuan perlindungan sosial dan keterangkuman, transformasi diterajui digital dan inovasi.

"Ketidaktentuan global ketika ini menjadikan pembaharuan perlu dilakukan segera. Pengukuhan institusi, disiplin fiskal, dan pembinaan kapasiti inovasi adalah pelengkap kepada pengembangan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan yang mampu mendepani gangguan global masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan