AM

CENTRAL SPECTRUM, AIR SELANGOR KERJASAMA BANGUNKAN BEKALAN AIR ALTERNATIF DI PULAU INDAH

01/07/2025 04:10 PM

HULU LANGAT, 1 Julai (Bernama) -- Central Spectrum (M) Sdn Bhd (Central Spectrum) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dalam merancang dan melaksanakan penyelesaian bekalan air alternatif bagi pembangunan Central Spectrum di Pulau Indah. 

Majlis MoC oleh Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Mohd Zapi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali di Loji Rawatan Air Langat 2 itu disaksikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Bersama untuk menyelia hala tuju strategik, kajian kebolehlaksanaan Loji Pemulihan Air, Pelan Penyahgaraman Air Laut, Loji Penyahgaraman In-situ, atau mana-mana perkhidmatan bekalan air alternatif lain.

Amirudin berkata eksplorasi penyahgaraman air laut yang bakal digunakan oleh pihak Air Selangor dan Central Spectrum akan dilihat dari segi kos dan keefisienan.

"Kos dan keefisienan akan dijadikan perhatian dan kalau projek penyahgaraman ini berjaya nanti,  ini akan menjadi model di kawasan pesisir laut negeri Selangor yang panjang dan ia menjadi pilihan pihak tertentu seperti chalet dan hotel.

"Mungkin kita hendak menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang melibatkan pelabuhan dan sebagainya yang memerlukan bekalan air," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis memandatangani MoC itu di sini hari ini.

Melalui kerjasama berkenaan, Central Spectrum juga akan menyediakan sokongan kewangan penuh bagi projek itu merangkumi kajian, reka bentuk dan pembinaan loji, manakala Air Selangor menyumbang kepakaran teknikal serta kelulusan pihak berkuasa yang diperlukan bagi memastikan penyelesaian bekalan air yang mampan dan efisien. 

Kerjasama itu bertujuan membangunkan bekalan air alternatif dan menyokong pembangunan jangka panjang Pulau Indah sekali gus memastikan perkhidmatan air yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai untuk industri di kawasan berkenaan. 

Sementara itu, Mohd Zapi berkata kerjasama berkenaan satu pencapaian penting dalam memastikan sumber air mampan untuk sebahagian pembangunan di Pulau Indah.  

"Dengan kepimpinan teknikal Air Selangor dan komitmen kami dari segi pembiayaan, kami yakin dapat menyediakan sistem bekalan air yang kukuh untuk memenuhi keperluan masa depan," katanya.

Pada majlis itu, Air Selangor turut menandatangani MoC bersama Universiti Selangor (UNISEL) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) untuk memperkukuh usaha pembangunan ekosistem industri air di Selangor.

Amirudin berkata kerjasama strategik itu menghimpunkan tiga institusi penting negeri Selangor, iaitu Air Selangor yang mempunyai kepakaran dalam industri perkhidmatan air, UNISEL dari segi akademik, dan STDC dengan keupayaan membangunkan tenaga kerja berkemahiran teknikal. 

Usaha itu juga menyediakan landasan kukuh melalui program latihan industri, penyelidikan bersama, latihan teknikal, pembelajaran berasaskan projek, dan pembinaan kerjasama industri yang mampan.

  -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan