PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Pemimpin digital yang berwawasan dan strategik amat diperlukan bagi menerajui transformasi digital sektor awam ke arah perkhidmatan lebih efisien, responsif serta dipacu oleh data dan teknologi, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata hal ini kerana gelombang Revolusi Industri Keempat (4IR) yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), data raya, Internet kebendaan (IoT) dan automasi telah mengubah landskap kehidupan, dunia pekerjaan serta penyampaian perkhidmatan secara drastik.
“Perubahan ini menuntut sektor awam agar lebih tangkas, inovatif dan berdaya saing dalam memenuhi jangkaan rakyat yang kian meningkat.
“Dalam hal ini, Ketua Pegawai Digital (CDO) menggalas amanah besar dan memainkan peranan penting sebagai pemacu utama perubahan dengan memastikan teknologi dimanfaatkan secara optimum dan beretika demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara,” katanya.
Shamsul Azri berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Ketua Pegawai Digital Sektor Awam 2025 (CDO CONVEX 2025) anjuran Jabatan Digital Negara yang bertemakan ‘Pemimpin Digital Cerdas dan Tangkas Era Baharu' di sini hari ini.
Persidangan sehari itu merupakan platform perkongsian ilmu yang signifikan kepada semua CDO sektor awam serta menghimpunkan pemimpin, ahli akademik, pakar industri dan pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan, bertukar idea selain membina jaringan strategik ke arah memperkasakan kepimpinan digital negara.
Shamsul Azri berkata pemimpin digital perlu berani ‘mencetus gelombang perubahan dan bukan sekadar bersedia menghadapinya’.
“Kejayaan sebenar kini tidak lagi terletak pada keupayaan untuk bersedia menghadapi perubahan tetapi pada keberanian untuk memula dan menggerakkan perubahan itu sendiri.
“Seiring dengan tema persidangan ini, pemimpin digital perlu bertindak proaktif dengan melihat ke hadapan, membuat keputusan berasaskan data serta bertindak pantas demi membawa nilai tambah kepada rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata CDO berperanan memastikan agenda pendigitalan negara memberi impak menyeluruh, oleh itu mereka perlu meneraju inisiatif pendigitalan dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan yang memenuhi keperluan dan pengalaman rakyat, selamat, efisien, cerdas serta dipercayai.
Shamsul Azri berkata selain itu, mereka perlu meneraju perubahan pendigitalan melalui penggunaan data serta teknologi selaras dengan dasar dan pelan semasa kerajaan selain menganggotai dan melaporkan pelaksanaan pendigitalan kepada tadbir urus yang berkaitan.
Beliau juga berkata keupayaan individu dalam menguasai kemahiran digital daripada peringkat asas hingga lanjutan harus turut diperkukuh melalui program latihan sistematik, pensijilan profesional serta pemindahan pengetahuan yang tersusun dan berstruktur.
“Pendekatan ini bukan sahaja mampu melahirkan tenaga kerja yang celik digital malah membentuk barisan pemimpin digital yang tangkas, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran pendigitalan yang semakin kompleks,” katanya.
Menyentuh mengenai transformasi perkhidmatan digital sektor awam, Shamsul Azri berkata MyGOV Malaysia iaitu gerbang digital tunggal negara juga adalah usaha yang sedang dilaksana oleh kerajaan dalam memastikan integrasi digital antara agensi awam.
Bakal dilancarkan Julai ini, ia dibangunkan dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Digital dan kolaborasi strategik pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan dengan aplikasi itu, rakyat dapat melakukan semakan, permohonan serta menerima notifikasi perkhidmatan agensi kerajaan antaranya semakan saman, aspek kebajikan serta khidmat untuk pesara.
-- BERNAMA