BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 DUNIA

IRAN KEMUKA ADUAN KEPADA PBB BERHUBUNG SERANGAN ISRAEL KE ATAS SEKTOR KESIHATAN

30/06/2025 02:12 PM

NEW YORK, 30 Jun (Bernama-IRNA) -- Duta Besar dan Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Amir Sa’eed Iravani mengecam serangan sengaja oleh Israel ke atas petugas perubatan Iran dalam satu aduan rasmi yang dikemukakan kepada PBB, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Dalam surat yang dihantar pada Ahad kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan PBB, Iravani  berkata rejim Israel dengan sengaja menyasarkan petugas perubatan dan fasiliti kesihatan Iran sepanjang pencerobohan baru-baru ini, dalam pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau menegaskan “pencerobohan tentera Israel yang kejam dan berterusan”  mengakibatkan kematian ramai orang awam serta kerosakan besar terhadap infrastruktur bukan ketenteraan di seluruh Iran.

Iravani berkata tindakan Israel itu adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa serta perjanjian berkaitan lain, dengan menyerang petugas perubatan dan pusat kesihatan secara sistematik, menyebabkan kehilangan nyawa yang besar dan kemusnahan meluas.

Israel memulakan pencerobohan pada 13 Jun, hanya tiga hari sebelum rundingan yang dijadualkan antara Iran dan Amerika Syarikat berhubung program nuklear aman Tehran dijadualkan berlangsung.

Amerika Syarikat menyertai peperangan pada 22 Jun dengan melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran iaitu Fordow, Isfahan dan Natanz.

Sebagai tindak balas, Angkatan Tentera Iran melancarkan serangan balas menyasarkan kedudukan utama di wilayah yang diduduki Israel dan menyebabkan kerosakan besar.

Gencatan senjata kemudian diumumkan pada 24 Jun.

-- BERNAMA-IRNA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan