MELAKA, 28 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka akan melaksanakan inisiatif bina baharu dan baik pulih rumah masyarakat Orang Asli bermula tahun depan bagi memastikan golongan itu memiliki kediaman atau tempat perlindungan yang selesa serta selamat.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata usaha itu bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak berasa terpinggir daripada apa juga bentuk bantuan atau inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk rakyat.
Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri menerima 70 aduan daripada masyarakat Orang Asli berkaitan permohonan bina baharu rumah dan ia akan dilaksana secara berperingkat pada 2026 mengikut keperluan atau keutamaan.
"Kita menerima banyak laporan berkaitan rumah penduduk Orang Asli yang perlu dibaik pulih dan bina baharu... justeru, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini kita telah bersetuju untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Abdul Kahar Abdullah di sini hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri juga telah melaksanakan pelbagai bantuan kepada masyarakat Orang Asli antaranya perlindungan insurans kesihatan, khairat kematian dan bantuan persekolahan.
Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan turut menyediakan platform untuk usahawan Orang Asli memperkenal dan memasarkan produk mereka terutama yang berasaskan hasil hutan.
"Selain itu, sempena Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 pada September ini, produk kraf, makanan dan hasil hutan usahawan Orang Asli juga akan diperkenal kepada masyarakat luar.
"Setakat ini, kira-kira 20 usahawan Orang Asli di Melaka berpotensi diketengahkan menerusi produk mereka terutama hasil hutan yang mempunyai pelbagai khasiat sekali gus menjadi nilai tambah bagi produk berkenaan," katanya.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal berkata seramai 62 usahawan Orang Asli dari Semenanjung Malaysia memasarkan produk mereka pada KUOA yang berlangsung di Dataran Pahlawan selama tiga hari bermula semalam.
Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi, persembahan kebudayaan, demonstrasi permainan tradisional dan kesenian, perkampungan budaya masyarakat Orang Asli serta persembahan artis terkenal turut diadakan.
-- BERNAMA