KEPALA BATAS, 28 Jun (Bernama) -- Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) memperluaskan program-program yang dirangka kepada kumpulan sasar dan komuniti untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan dan memperkukuhkan nilai murni yang terkandung dalam gagasan Malaysia MADANI.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JKOM Kafrawi Ridzuan Tarmizi berkata program itu diperluaskan ke beberapa negeri bagi memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan serta kerangka MADANI dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.
“Dalam program yang dirangka khusus oleh JKOM itu sendiri kita dapat banyak maklum balas positif, antaranya dari segi pengenalan dan penghayatan tentang konsep kerangka MADANI itu sendiri. Ia diterima pakai secara insaniah dan neutral dalam kalangan komuniti.
“Kalau kita lihat sebelum ini, mereka melabelkan secara persepsi negatif yang bersifat agenda politik tetapi menerusi program yang kami jalankan, kita beri pendedahan dan maklumat mengenai konsep MADANI untuk membentuk insaniah semua masyarakat berbilang kaum khususnya membawa kemajuan dari segi konteks negara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Ukhuwah MADANI Parlimen Kepala Batas 2025, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Kafrawi Ridzuan berkata antara objektif utama program itu adalah untuk menghapuskan salah faham terhadap konsep MADANI yang sebelum ini sering disalah tafsir sebagai agenda politik semata-mata.
Beliau berkata konsep MADANI itu sebenarnya membawa nilai sejagat yang sesuai untuk diterapkan dalam kehidupan seharian rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Program-program yang kami jalankan turut memberi fokus kepada kumpulan sasar, contohnya macam hari ini ialah golongan pelajar yang dianggap sebagai aset penting negara dan pemimpin masa hadapan.
“Apabila kita tumpukan kepada golongan muda khususnya pelajar, kita sebenarnya sedang menanam benih nilai MADANI dalam generasi akan datang. Mereka inilah yang akan meneruskan kesinambungan negara yang berteraskan nilai dan prinsip yang mulia,” katanya.
-- BERNAMA