Daripada Siti Radziah Hamzah
MOSCOW, 28 Jun (Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menamatkan lawatan kerja beliau selama lapan hari ke Uzbekistan dan Rusia, menandakan detik penting dalam usaha baharu Malaysia untuk memperkukuh perkongsian strategik antarabangsa.
Lawatan berkenaan tertumpu kepada potensi untuk menggiatkan semula program tenaga nuklear Malaysia di samping kerjasama dalam ekonomi halal, pelancongan, pelaburan tenaga dan kewangan Islam.
Pencapaian penting daripada lawatan berkenaan adalah pemeteraian perjanjian kerahsiaan antara MyPower Corporation, agensi tujuan khas di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dan agensi tenaga atom Rusia, Rosatom.
Perjanjian itu membuka peluang kepada potensi kerjasama dalam penggunaan teknologi nuklear secara aman seiring dengan usaha Malaysia untuk menilai semula strategi tenaga jangka panjangnya.
Berikutan langkah Malaysia memajukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, tenaga nuklear sedang diberikan pertimbangan yang serius sebagai pilihan beban asas yang boleh dipercayai dan bersih untuk mempelbagaikan campuran tenaga dan mencapai matlamat keselamatan iklim dan tenaga jangka panjang.
Sebelum ini, Malaysia mempunyai agenda pembangunan nuklear yang teguh, dilengkapi dengan rancangan untuk mengoperasikan dua loji kuasa nuklear menjelang 2021.
Bagaimanapun rancangan itu ditangguhkan, dan Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia dibubarkan pada 2018.
Hari ini, dalam keadaan tekanan yang meningkat untuk menyahkarbonkan dan mempelbagaikan sumber tenaga, tenaga nuklear kembali dipertimbangkan sebagai pilihan rendah karbon yang berdaya maju.
Satu kajian prakebolehlaksanaan yang baru sahaja diselesaikan menunjukkan dapatan yang memberangsangkan, mendorong kerajaan untuk meneroka laluan pelaksanaan yang sejajar sepenuhnya dengan piawaian keselamatan, sekuriti dan pengawalan senjata nuklear.
Lawatan berkenaan turut mengukuhkan kepimpinan halal global Malaysia. Uzbekistan dan Rusia menyatakan minat yang tinggi untuk memanfaatkan ekosistem halal Malaysia yang mantap.
Selain itu, kerajaan Uzbekistan menyampaikan jemputan rasmi kepada syarikat minyak dan gas negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mempertimbangkan pelaburan semula dalam sektor tenaga negara itu.
Petronas meninggalkan pasaran Uzbekistan pada 2013, namun peluang baharu dalam penerokaan dan pembangunan sektor huluan tampil seiring dengan usaha Uzbekistan untuk merancakkan semula landskap tenaganya
Hubungan pelancongan turut diperkukuh menerusi pelancaran penerbangan terus oleh AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Tashkent, yang beroperasi tiga kali seminggu.
Menyedari potensi untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan dan perdagangan, Fadillah menggalakkan AirAsia X untuk memperluas laluan penerbangan ke Samarkand, sebuah bandar bersejarah di Laluan Sutera dan Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang berupaya meningkatkan nilai pelancongan masa senggang dan budaya.
Uzbekistan turut berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam perdagangan karbon, dan telah menyatakan hasrat untuk memanfaatkan pengalaman luas Malaysia dalam membangunkan pasaran sukuk -- bidang yang meletakkan Malaysia diiktiraf secara meluas sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.
-- BERNAMA