AM

JANGAN POLITIKKAN AGAMA ISLAM UNTUK KEPENTINGAN PERIBADI, JAGA KESUCIAN AGAMA - AGONG

27/06/2025 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan peringatan tegas kepada pemimpin masyarakat agar tidak menjadikan agama Islam sebagai alat politik demi kepentingan peribadi.

Sultan Ibrahim bertitah urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut kefahaman sekular atau liberal.

“Saya ingin mengingatkan agar pemimpin masyarakat tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya, mengislamkan politik demi kepentingan negara. 

“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan. Oleh itu, janganlah ada pihak yang tunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau sebar fitnah, menyebarkan fitnah dan kebencian yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat ” titah Seri Paduka Baginda.

 Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan supaya pentas dakwah dan medan pengajaran agama tidak dijadikan saluran membawa agenda politik kepartian, sebaliknya kekal sebagai ruang memperkukuh perpaduan dan penyatuan ummah.

Sultan Ibrahim turut menitahkan semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali menyalakan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.

“Nilai perpaduan erat dicapai di negara ini adalah melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, keadilan kuasa, tanggungjawab dan muafakat.

“Marilah kita bersama menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim turut menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan negara supaya mencontohi sifat Rasulullah SAW yang berhikmah, adil dan tidak menzalimi yang lemah.

Selain itu seluruh umat Islam juga diseru agar memahami tanggungjawab besar dalam membina sebuah tamadun yang berteraskan nilai Islam. 

“Pembangunan sebenar bukan sekadar daripada segi fizikal, tetapi turut mencakupi aspek akhlak, ilmu, dan keinsanan.

“Orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka dijanjikan kedudukan tinggi di sisiNya. Mereka inilah golongan yang benar-benar memperoleh kemenangan. 

“Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah adalah satu perjalanan bersejarah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Piagam Madinah iaitu dokumen penting yang mendasari prinsip keadilan, muafakat dan kepelbagaian,” titah Seri Paduka Baginda.

Pada majlis itu Seri Paduka Baginda turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada bekas Mufti Johor Datuk Dr Nooh Gadot yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi  Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447H/2025M.

Turut berangkat ke majlis itu anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Menteri Kabinet serta hampir 8,000 tetamu hadir termasuk kontinjen dari kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan perwakilan asing.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M mengangkat tema ‘Membangun Ummah MADANI', yang menyeru umat Islam supaya mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk membina masyarakat yang lebih bertamadun, inklusif dan seimbang daripada segi kerohanian serta fizikal di samping membina negara MADANI.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan