EKONOMI

PENGEMBARA, SYARIKAT INSURANS BIMBANG IMPAK KOS SUSULAN KRISIS DI TIMUR TENGAH

27/06/2025 10:55 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) — Kalangan pengembara dan syarikat insurans menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya kenaikan kos susulan ketegangan geopolitik yang ketara di Timur Tengah.

Ini berikutan krisis itu telah menyumbang kepada penutupan mengejut lapangan terbang utama di rantau itu yang juga antara hab penerbangan paling sibuk di peringkat global.

Kejadian seperti penangguhan penerbangan yang berleluasa, penjadualan semula laluan serta pembatalan penerbangan, terbukti menjejaskan laluan perjalanan global yang melalui rantau Teluk meskipun Israel dan Iran telah mengumumkan gencatan senjata.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan beberapa penerbangan Malaysia ke Timur Tengah terpaksa dibatalkan susulan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar.

“Keadaan itu telah menjejaskan laluan penerbangan ke Eropah yang menyaksikan syarikat penerbangan mengelak wilayah Timur Tengah itu,” katanya baru-baru ini.

 

Tuntutan rendah, insurans perjalanan meningkat  

Setakat ini, meskipun kesan terhadap tuntutan insurans masih agak sederhana, pemain industri masih terus memantau perkembangan keadaan dengan teliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Re Ltd Janet Chin memberitahu Bernama, syarikat itu belum menyaksikan peningkatan ketara dalam aspek tuntutan atau pertanyaan yang berkaitan dengan krisis antara Iran dan AS.

Serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan tentera AS di Qatar adalah sebagai tindak balas terhadap serangan udara oleh AS sebelum itu ke atas tiga kemudahan nuklear Iran iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan yang melonjakkan ketegangan serantau.

“Lazimnya, polisi insurans perjalanan yang standard di pasaran tidak merangkumi kejadian sedemikian dan sebaliknya disenaraikan berasingan berikutan faktornya yang berisiko tinggi selain sukar dijangka.

“Liputan bagi senario itu hanya ditawarkan di bawah (manfaat) tambahan khusus atau pilihan, bergantung kepada penginsurans dan tidak dijadikan sebahagian daripada pelan insurans perjalanan biasa,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada keadaan liputan di bawah pelan standard yang tidak merangkumi insiden atau kejadian berkaitan perang atau operasi menyamainya, Tune Protect tidak menjangkakan sebarang peningkatan tuntutan insurans.

Bagaimanapun, tegasnya, syarikat itu akan terus memantau keadaan dan pengembara dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti nasihat perjalanan selain memahami skop liputan insurans perjalanan masing-masing sebelum berlepas.

Menurutnya, biarpun terdapat pertambahan kecil pembelian insurans perjalanan atau pengembaraan menerusi saluran terus Tune Protect kepada pengguna (B2C), keadaan itu berkemungkinan besar disebabkan oleh peningkatan kesedaran dalam kalangan pengembara bebas.

Sementara itu, Etiqa Insurance pula mengakui lonjakan pertanyaan berkaitan penangguhan atau pembatalan penerbangan pergolakan yang berlaku, daripada ejen serta pelanggan.

“Ya, memang berlaku banyak pertanyaan daripada pelanggan serta ejen, tetapi belum lagi yang berkaitan dengan tuntutan,” kata jurucakapnya.

Namun, tidak seperti Tune Protect, Etiqa sebaliknya tidak menyaksikan lonjakan permintaan bagi polisi insurans pengembaraan baharu walaupun berlaku ketidakstabilan di rantau Timur Tengah.

 

Terpaksa batal, tunda penerbangan 

Nadia Ahmad Najmi, 25, mengakui terpaksa mengambil keputusan sukar membatalkan rancangan percutiannya ke Eropah walaupun telah melakukan semua persiapan daripada penerbangan hingga jadual aktiviti.

“Saya sememangnya teruja untuk percutian ini sejak beberapa bulan lepas. Namun, ketegangan geopolitik dan apa yang sedang berlaku di beberapa bahagian lain dunia mencetuskan rasa tidak selesa untuk meneruskan hasrat itu.

“Keluarga saya juga bimbang dan ini hanya menambah tekanan. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk membatalkan saja perjalanan dan tunggu hingga keadaan lebih stabil. Ya, ini memang  mengecewakan, namun pada masa sama, ketenangan fikiran jauh lebih penting,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Redzuan Imran, 30, yang berhasrat merancang melawat keluarganya di United Kingdom (UK), juga memilih untuk menangguhkan perjalanannya.

Walaupun menyedari UK tidak terlibat secara langsung dalam krisis itu, beliau berkata penerbangan dari Kuala Lumpur sering melalui ruang udara di kawasan itu.

“Membaca laporan media mengenai syarikat penerbangan yang mengubah laluan atau mengelak koridor udara tertentu, menyebabkan saya memutuskan untuk tidak ambil risiko.

“Saya berharap keadaan akan kembali stabil untuk kembali meneruskan hasrat ke UK,” katanya.

Pemilik Travel for Lifetime Zairol Hasri Md Akhir berkata syarikatnya setakat ini belum menerima sebarang pembatalan rancangan percutian ke Eropah yang dijadualkan pada September dan Oktober ini.

“Kami juga telah merancang sejak awal tahun ini untuk membeli tiket penerbangan (yang tidak dijangka menyebabkan peningkatan kos tiket atau insurans).

“Syarikat ini juga tidak mempunyai sebarang rancangan perjalanan bagi bulan ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan