GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) mendakwa berlaku penyelewengan terhadap minyak masak bersubsidi yang dibungkus semula dan dijual untuk upacara keagamaan di kuil.
Presidennya Datuk P Murugiah berkata pihaknya mendapati minyak sembahyang dijual di negeri itu terutamanya oleh pembekal di kuil adalah minyak masak bersubsidi, yang pada asalnya berharga RM2.50 sekilogram.
“Minyak berkenaan kemudiannya dijual hingga RM8.20 seliter apabila dipasarkan sebagai minyak untuk upacara keagamaan.
“Semasa tinjauan harga dilakukan PHA baru-baru ini, satu jenama minyak sembahyang disenaraikan pada harga RM8.20 seliter, iaitu keuntungan luar biasa sebanyak 228 peratus daripada harga bersubsidi asal. Malah terdapat jenama lain dijual pada harga lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menggesa pengguna supaya sentiasa menyemak harga dan sumber minyak untuk upacara sembahyang sebelum membuat pembelian bagi mengelakkan penyalahgunaan minyak masak bersubsidi.
Beliau berkata perbuatan berkenaan jika tidak dikawal akan menjejaskan tujuan asal pemberian subsidi yang diperuntukkan kepada golongan B40.
“Apabila ia disalurkan ke pasaran keagamanaan dengan harga lebih tinggi manfaat kepada kumpulan sasar hilang dan keuntungan akan dikaut oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Murugiah berkata isu berkenaan bukan perkara baharu kerana perkara sama pernah berlaku pada tahun lepas dan 2023, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang peniaga yang membungkus semula minyak bersubsidi dan menjualnya sebagai minyak sembahyang pada harga tinggi.
Beliau berkata terdapat pembekal sanggup mencampurkan pewarna dalam minyak berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa, dan justeru, PHA menggesa KPDN memperketat penguatkuasaan dan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis peruncitan khususnya yang menjual barangan keagamaan.
Murugiah berkata PHA turut menyokong pelaksanaan penuh Skim Penstabilan harga Minyak Masak (eCOSS) di seluruh negara bertujuan menjejak bekalan minyak bersubsidi dari kilang penapisan hingga peruncit.
“Saya yakin sistem eCOSS mampu menutup ruang penyelewengan, dan pada masa sama menggesa pengguna agar sentiasa berwaspada dan memeriksa sumber minyak dibeli untuk kegunaan sembahyang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sentiasa memantau semua aktiviti melibatkan penggunaan minyak masak bersubsidi bagi mengelakkan penyalahgunaan atau penyelewengan.
Beliau berkata pemantauan bukan saja tertumpu kepada isu bekalan malah merangkumi aktiviti berkaitan seperti penggunaan minyak masak dalam upacara keagamaan di kuil oleh penganut Hindu seperti dibangkitkan PHA.
Beliau berkata walaupun tiada aduan rasmi diterima setakat ini berhubung perkara berkenaan, pihaknya tetap menjalankan pemantauan termasuk berkaitan penyalahgunaan barangan bersubsidi.
“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dan berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan,” katanya.
-- BERNAMA