KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) ke-25 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung selama lima hari bermula Isnin lepas di Putrajaya, menjadi platform dalam merangka pelan bagi membanteras 10 jenayah rentas sempadan yang membelenggu rantau ini.
Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mohd Azlan Razali berkata 10 jenayah rentas sempadan berkenaan melibatkan antaranya jenayah keganasan, jenayah siber, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, pemerdagangan hidupan liar dan balak serta pengubahan wang haram.
Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan tuan rumah kepada mesyuarat berkenaan memainkan peranan yang amat signifikan dalam merangka pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi memperkukuh usaha memerangi jenayah rentas sempadan di peringkat serantau.
“Platform SOMTC membolehkan kita bergerak secara kolektif dan menyelaras tindakan di peringkat rantau ini dan domestik, serta kerjasama dengan negara rakan dialog seperti Amerika Syarikat dan China turut memainkan peranan penting dalam aspek pemindahan pengetahuan dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program ASEAN: Dari Kuala Lumpur ke Dunia terbitan Bernama TV baru-baru ini.
SOMTC ke-25 menghimpunkan pegawai kanan ASEAN termasuk negara pemerhati Timor Leste dan dihadiri pegawai kanan daripada 10 negara rakan dialog antaranya Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan Australia.
Mohd Azlan berkata perbezaan undang-undang antara negara anggota ASEAN dalam menangani jenayah tertentu seperti penyeludupan dadah turut diberi perhatian dalam mesyuarat berkenaan dan antara langkah jangka panjang yang sedang diusahakan adalah penerbitan buku panduan perundangan.
"Melalui buku panduan ini setiap negara anggota dapat menyemak perundangan yang digunakan oleh negara masing-masing dalam membanteras jenayah rentas sempadan sebagai rujukan bersama," katanya.
Beliau berkata melalui platform SOMTC, negara anggota ASEAN boleh berkongsi maklumat strategik agar usaha untuk membanteras sindiket jenayah rentas sempadan dapat dijalankan dengan lebih efektif.
Mengambil contoh usaha memerangi pusat panggilan jenayah penipuan yang beroperasi di negara jiran, Mohd Azlan berkata pertukaran maklumat dan kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia dan polis negara jiran banyak membantu kepada usaha membawa pulang rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket.
-- BERNAMA