Oleh Puti Iylia Maisarah
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Di tengah-tengah kehijauan hutan belantara dan bening air Tasik Banding yang jauh daripada kesibukan kota, berdiri sebuah sekolah yang menjadi nadi harapan kepada anak-anak Orang Asli suku Jahai di pedalaman Royal Belum, Gerik, Perak.
Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang merupakan satu-satunya institusi pendidikan di kawasan itu yang menempatkan 125 murid Tahun Satu hingga Enam dan hanya boleh diakses dengan menaiki bot hampir dua jam.
Di sebalik cabaran geografi, ruang kelas sekolah itu bergema dengan suara anak-anak kecil suku kaum tersebut yang kebiasaannya berkomunikasi dalam bahasa tersendiri tetapi kini menyebut dan mengeja suku kata dan perkataan dalam bahasa kebangsaan selain mula memahami asas nombor.
Setiap sebutan dan ejaan yang meniti daripada bibir kecil mereka mencerminkan tekad luar biasa untuk menuntut ilmu dalam serba kekurangan sekali gus mencetus sinar harapan melalui pelaksanaan Program Anak Kita (PAK), dengan sekolah itu antara 104 sekolah di Perak yang terpilih.
Guru Besar SK Sungai Tiang Mohammad Rezal Shuib berkata pendekatan PAK di sekolah itu melibatkan penempatan ‘guru bitara’ menerusi kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), iaitu guru dipilih dalam kalangan penduduk setempat bagi membantu guru pemulihan (co-teaching) berkomunikasi dengan lebih berkesan.
Beliau berkata cabaran pendidikan yang dihadapi murid Orang Asli berbeza daripada pelajar arus perdana kerana latar belakang budaya dan bahasa yang berbeza, selain dipengaruhi faktor geografi, sosioekonomi dan persekitaran yang membentuk pengalaman pembelajaran mereka secara keseluruhan.
“Kekuatan PAK terletak pada keupayaannya menyesuaikan pelaksanaan dengan cabaran setempat sekali gus menjadikannya sebuah inisiatif pendidikan yang lebih inklusif dan berkesan.
“Di SK Sungai Tiang contohnya, majoriti murid adalah daripada suku Jahai yang bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Jadi, apabila ada guru bitara yang memahami budaya dan bahasa setempat ia membantu proses pembelajaran jadi lebih lancar dan berkesan,” katanya kepada Bernama.
Dilancarkan pada 27 Sept 2024, program itu merupakan inisiatif reformasi pendidikan nasional di bawah mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia digerakkan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan, dengan kerjasama Unit Pantau MADANI (UPM), Yayasan Hasanah, tiga universiti awam, tujuh pertubuhan masyarakat sivil dan dipantau Unit Pantau Madani hingga Disember ini.
Mohammad Rezal berkata pelaksanaan kelas pemulihan menerusi khidmat guru bitara sememangnya menunjukkan pencapaian positif meskipun kadar kemajuan murid berbeza-beza mengikut tahap penguasaan masing-masing.
Beliau berkata peningkatan dapat dilihat contohnya apabila sebelum ini ada murid hanya tahu menulis huruf tunggal seperti ‘A’, tetapi kini sudah boleh membina suku kata seperti ‘K-A’ dan mengeja perkataan seperti ‘bola’ meskipun masih belum lancar menyambung ejaan sepenuhnya.
“Sekarang bila mereka lihat huruf ‘L’ dan ‘A’, mereka dah tahu bunyinya. Itu sudah menunjukkan pencapaian. Bacaan mereka masih perlahan tapi kita nampak perkembangan itu,” katanya lagi.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pendidikan Dr Rusmini Ku Ahmad berkata PAK disusun untuk menangani tiga cabaran utama pendidikan pascapandemik, iaitu penguasaan kemahiran asas 3M membaca, menulis dan mengira, pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta isu keciciran murid.
Beliau berkata komponen 3M melibatkan 53,252 murid daripada 1,288 sekolah rendah manakala bagi Program SPM sebanyak 10,119 pelajar daripada 327 sekolah kohort 2024, dan 20,000 pelajar daripada 905 sekolah kohort 2025 menerima sokongan akademik bagi memastikan mereka menguasai subjek teras seperti Bahasa Melayu, Sejarah, dan Matematik.
Program Murid Cicir pula merupakan inisiatif khas untuk membantu sekurang-kurangnya 500 pelajar yang telah tercicir kembali ke sistem pendidikan melalui bantuan bersasar merangkumi pengangkutan, peralatan sekolah, baucar makanan, sesi kaunseling dan dorongan berterusan.
Ketua Pengarah UPM Mohd Khalid Mohamed Latiff pula berkata program 3M yang dilaksanakan di 1,288 sekolah memberi manfaat kepada lebih 53,200 murid di Perak, Kedah, Kelantan, Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak dengan merekodkan peningkatan ketara dalam kemampuan 3M sejak pelaksanaannya awal tahun ini.
Sementara itu, Pengurus Kanan Advokasi Pendidikan Yayasan Hasanah Aeti Abdullah berkata keberhasilan program itu di SK Sungai Tiang terletak pada keupayaannya menyesuaikan diri.
“Ia tidak bergantung kepada model ‘satu untuk semua', sebaliknya bertindak balas terhadap keperluan unit setiap sekolah dan pelajar. Kejayaan paling jelas dilihat melalui suara pelajar, komitmen kepimpinan di sekolah serta dedikasi para pendidik yang sentiasa berusaha melangkaui tanggungjawab mereka.
“Dengan asas yang kukuh ini dan kesan yang telah terbukti, langkah seterusnya adalah untuk memperluaskan, menyokong dan mengekalkan usaha ini di seluruh negara. Kejayaan yang telah terbukti di SK Sungai Tiang seharusnya menjadi model perubahan sistemik di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata pelajar menerima dua kelas pemulihan setiap minggu iaitu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik, menggunakan Modul RIMBA yang dibangunkan khusus untuk menyokong pelajar dalam kategori pemulihan khas.
Beliau juga menjelaskan bahawa kelas tersebut diajar secara bersama oleh guru pemulihan dan guru bitara, dengan kemajuan pelajar dipantau secara konsisten melalui sistem MYSkor.
-- BERNAMA