KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, terus susut pada 3.6 peratus bagi Mei 2025 daripada penurunan 3.4 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua sektor mencatat penurunan tahun ke tahun pada Mei 2025, kecuali bagi sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.
Beliau berkata sektor perlombongan juga terus mencatat penurunan dua digit iaitu susut 15.0 peratus (April 2025: -17.8 peratus) berikutan penyusutan ketara dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (-15.7 peratus) dan pengekstrakan gas asli (-13.1peratus).
“Sektor pembuatan turun 3.0 peratus selepas susut 2.6 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh subsektor utama iaitu pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-15.4 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-6.9 peratus).
“Pada masa sama, sektor bekalan elektrik dan gas turun 1.1 peratus manakala sektor bekalan air susut 0.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata bagi asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan turun 1.1 peratus pada Mei 2025 berbanding penurunan 1.0 peratus pada April 2025.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatat penurunan 5.4 peratus akibat penurunan ketara dalam indeks penanaman tanaman kekal (-9.1 peratus) manakala sektor perlombongan turut susut 2.3 peratus akibat penurunan indeks pengekstrakan petroleum mentah (-2.1 peratus.
“Dalam pada itu, sektor pembuatan turun 0.5 peratus, dipengaruhi oleh penyusutan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-2.1 peratus) dan pembuatan produk makanan (-1.1 peratus),” katanya.
Mengulas perbandingan dengan negara terpilih, Mohd Uzir berkata IHPR Amerika Syarikat meningkat 2.6 peratus, Jepun menokok 3.2 peratus, China terus susut 3.3 peratus manakala Thailand menguncup 3.7 peratus.
-- BERNAMA