AM

186 'HIGH FIVE' SEMINIT, FUBEAR CATAT REKOD MALAYSIA BOOK OF RECORDS

25/06/2025 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Maskot Taiwan Excellence, FuBear mencipta rekod Malaysia Book of Records bagi kategori Most High-Fives in One Minute by a Costume Mascot selepas melakukan 186 high-five (tepuk ria) bersama 70 peserta dalam tempoh seminit.

Taiwan Excellence dalam kenyataan hari ini memaklumkan rekod itu dicipta pada Taiwan Expo 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Cabaran itu merupakan sebahagian daripada kempen global Taiwan Excellence Give Me Five! A Better Life dijalankan bersama First City University College, SAIEF Malaysia Fitness, organisasi komuniti REACH Segamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM).

“Objektif utama cabaran adalah untuk menyatukan hati dan menunjukkan semangat “Penyelesaian Inovatif untuk Kehidupan yang Lebih Baik” oleh Taiwan Excellence.

“FuBear bukan sekadar maskot comel Taiwan Excellence tetapi juga mewakili nilai keprihatinan, keterangkuman dan inovasi,” menurut kenyataan itu. 

Taiwan Excellence memaklumkan menerusi gerakan mudah high-five, FuBear telah menjelajah 11 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, Indonesia, Eropah dan Amerika Syarikat bagi menyebarkan mesej positif kelestarian, kesihatan dan kebajikan.

“FuBear membuat kemunculan pertama di Kuala Lumpur menerusi karnival Jom Heboh pada Mei dan terus menjadi tumpuan ramai. Kali ini, kehadirannya di Taiwan Expo membawa misi kebajikan,” menurut kenyataan itu. 

Menerusi kerjasama dengan PSJKM, FuBear mempromosikan beg kitar semula buatan tangan untuk membantu wanita kurang bernasib baik sambil meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar.

“Bersama REACH Segamat, FuBear menggalakkan kanak-kanak autistik menunjukkan kreativiti melalui lukisan bertemakan FuBear dan dijadikan kad Touch ‘n Go edisi terhad bagi menunjukkan keindahan dunia  mereka. 

 “Semua hasil sumbangan akan disalurkan kepada pusat latihan REACH Segamat untuk menyokong pendidikan kanak-kanak autistik,” menurut kenyataan itu. 

FuBear juga akan melawat rumah jagaan warga emas serta anak yatim di seluruh Malaysia untuk terus menyebarkan mesej kasih sayang dan kemesraan bermula Julai.

Selain itu, kenyataan sama memaklumkan Taiwan Excellence mempamerkan 40 produk berkualiti tinggi daripada 27 syarikat pemenang anugerah pada ekspo itu.

“Produk ini memperlihatkan kekuatan Taiwan dalam aspek gaya hidup sihat dan inovasi pintar, sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada industri serta pengguna Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pemasaran Strategik Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (Taitra) Brian Lee berkata inisiatif menerusi maskot itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai Taiwan Excellence dan produknya dalam kalangan rakyat Malaysia.  

“Cabaran FuBear mencerminkan inovasi kecemerlangan Taiwan. Kami menggunakan teknologi inovasi untuk menjadikan kehidupan lebih baik,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata penyertaan kempen Give Me Five! A Better Life menerusi https://giveme5taiwanexcellence.com/ bukan terbuka di Malaysia sahaja, tetapi juga di sembilan negara termasuk India, Thailand dan Vietnam. 

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi https://www.facebook.com/TaiwanExcellence.MY.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan