KANGAR, 25 Jun (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan neneknya, Sabtu lepas.
Mohd A’izzat Arzami, 29, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Che Minah Man, 75, di hadapan sebuah rumah di Kaki Bukit dekat Padang Besar, kira-kira 5 petang, 21 Jun.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, dengan hukuman di bawah Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu di bawah seksyen yang relevan sekiranya disabitkan kesalahan.
Nurshahida membenarkan Mohd A’izzat diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu diperintahkan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan perubatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala Mohd A’izzat diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Afida Nurizzatie Abdul Lateh.
-- BERNAMA