GEORGE TOWN, 25 Jun (Bernama) -- Seorang pembantu pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, Ahad lepas.
Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin bagaimanapun tidak menerima pengakuan S.R. Aingaran, 19, kerana gagal mengecam gambar-gambar kejadian yang dijadikan fakta kes berkenaan.
Tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada 9.40 malam, 22 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, ketika berada di pos pengawal, anggota polis terbabit telah menahan dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan dan membuat pemeriksaan terhadap suspek yang berada dalam pengaruh alkohol sebelum membawa mereka masuk ke dalam pos pengawal untuk pemeriksaan lanjut.
Kemudian, tertuduh bertindak agresif dengan menumbuk pipi dan mengigit dada anggota polis itu sehingga cedera bengkak di pipi serta lebam di dada.
Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) S.Bommy memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih muda, bujang dan hanya berpendapatan RM1,800 sebulan sebagai pembantu pemandu lori.
Siti Nurul Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa atau keluarganya sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
-- BERNAMA