EKONOMI

SUN LIFE MALAYSIA LANTIK HO TECK SENG SEBAGAI PRESIDEN DAN KETUA NEGARA BAHARU

25/06/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 25 June (Bernama) -- Sun Life Malaysia telah melantik Ho Teck Seng sebagai Presiden dan Ketua Negaranya yang baharu, serta Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Assurance Bhd berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Beliau menggantikan Raymond Lew yang akan bersara pada 30 Jun, 2025.

“Dengan lebih 30 tahun pengalaman, Ho membawa kepimpinan dan kepakaran yang meluas susulan memegang pelbagai jawatan kanan dalam institusi insurans.

“Latar belakangnya merangkumi pengedaran, operasi, transformasi digital, pengalaman pelanggan dan pengurusan kewangan,” kata penyedia insurans dan takaful dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum pelantikan tersebut, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Presiden Sun Life Indonesia, yang bertanggungjawab untuk mengembangkan pertumbuhan perniagaan syarikat, keuntungan dan menguruskan keseluruhan strategi pembangunan.

Ho mula menyertai syarikat itu pada 2013 sebagai Ketua Pegawai Operasi sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2016.

Sementara itu, Pengerusi Sun Life Malaysia Datuk Noorazman Abd Aziz berkata kepakaran meluas dalam industri yang dimiliki oleh Ho, kepimpinan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pelanggan menjadikannya pemimpin yang ideal untuk memimpin syarikat ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Lembaga pengarah yakin Sun Life Malaysia akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi takaful dan insurans yang dipercayai dalam membantu rakyat Malaysia mencapai keselamatan kewangan dan kesejahteraan di bawah pengawasannya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan