EKONOMI

NIAGA HADAPAN EMAS MELEMAH SELEPAS KETEGANGAN GEOPOLITIK MENGENDUR

24/06/2025 08:47 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif melemah hari ini selepas kebimbangan mengenai geopolitik mereda dan pelabur mengalihkan tumpuan mereka ke arah peralihan dinamik monetari.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata momentum emas yang dipacu oleh peperangan serta krisis di Timur Tengah telah mengendur selepas gencatan senjata Presiden Donald Trump antara Israel dan Iran masih berterusan buat masa ini.

"Selat Hormuz tidak ditutup dan serangan Tehran sebahagian besarnya bersifat simbolik, pasaran mula stabil daripada lonjakan harga yang dipacu oleh krisis serantau yang memuncak. Ini mengalihkan premium risiko geopolitik daripada emas dan minyak mentah," katanya kepada Bernama. 

Innes berkata walaupun ketegangan global masih kekal, ia tidak memburuk, dengan tahap risiko yang lebih rendah terus memberikan sokongan yang mantap untuk harga emas. "Bagaimanapun, ini tidak lagi dilihat sebagai sebab utama di sebalik pergerakan harga emas memandangkan harga emas kini dipengaruhi lebih banyak oleh jangkaan kadar faedah termasuk pergerakan dalam dolar US," katanya.

Kontrak Jun 2025 jatuh kepada US$3,323.4 setiap auns troy berbanding US$3,368.6 yang dicatatkan semalam, manakala Julai 2025 susut kepada US$3,336.3 daripada US$3,381.5. Kontrak Ogos, September serta Oktober 2025 masing-masing turun kepada US$3,352.3 setiap auns troy daripada US$3,397.5 semalam.

Jumlah dagangan melonjak kepada 88 lot berbanding 38 lot semasa ditutup Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 112 kontrak daripada 59 kontrak.

Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 23 Jun, harga emas fizikal berada pada US$3,380.55 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan