EKONOMI

LHDN SEDIAKAN FORMAT, CONTOH BAUCAR DIVIDEN MELALUI PORTAL RASMI

24/06/2025 03:48 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan format dan contoh baucar dividen baharu kepada pembayar cukai yang boleh dimuat turun melalui portal rasmi www.hasil.gov.my.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pembayar cukai, khususnya syarikat digalakkan merujuk dan menggunakan format disediakan bagi memastikan pengisian maklumat berkaitan dividen teratur, telus dan menepati keperluan percukaian semasa.

Format itu disediakan susulan pengumuman kerajaan tentang pelaksanaan cukai terhadap pendapatan dividen diterima pemegang saham individu pada pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui inisiatif itu, LHDN akan mengenakan cukai pada kadar dua peratus terhadap jumlah pendapatan dividen melebihi RM100,000 setahun berkuat kuasa pada Tahun Taksiran (TT) 2025 yang merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem percukaian negara secara inklusif dan menepati keperluan semasa ekonomi negara.

“Selaras dengan pelaksanaan ini, syarikat yang membayar, mengkredit atau mengagihkan dividen yang diperoleh dari Malaysia diwajibkan untuk mengeluarkan perakuan atau baucar dividen kepada pemegang saham individu,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan keperluan berkenaan tertakluk di bawah Seksyen 108 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan bertujuan menyatakan amaun kasar dividen serta amaun dibayar atau dikreditkan kepada pemegang saham.

“LHDN percaya pelaksanaan inisiatif ini akan terus menyokong usaha pemerkasaan sistem percukaian negara secara progresif melalui amalan pematuhan yang lebih sistematik serta meningkatkan tahap integriti dalam tadbir urus hasil negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan