EKONOMI

MSNR TRACE JEJAK TRANSAKSI GETAH MENTAH DARI LADANG HINGGA PRODUK AKHIR - CHAN

24/06/2025 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Penggunaan sistem Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) Trace memainkan peranan penting dalam menangani isu alam sekitar dan sosial dalam industri dengan membenarkan pihak berkepentingan menjejaki transaksi getah mentah dari ladang hingga produk akhir.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata sistem ini merupakan satu platform digital yang dibangunkan untuk mengesan rantaian bekalan getah asli, memastikan ketelusan, kemampanan dan akauntabiliti dalam pengeluaran getah.

“Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam menerajui transformasi industri getah ke arah kemampanan. 

“Dengan teknologi dan inovasi seperti MSNR Trace, Malaysia bersedia untuk menjadi peneraju global dalam pengeluaran getah asli dan produk getah berkualiti tinggi,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran MSNR Trace di sini hari ini.

Chan berkata sistem ini merangkumi integrasi beberapa platform digital dalaman Lembaga Getah Malaysia (LGM), iaitu PAT-G, RRIM Geo Rubber, RRIMniaga, RRIMestet dan MyLesen.

Bagi memastikan usaha ini berjaya, katanya semua pemegang lesen LGM yang terlibat digesa untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada LGM dalam penggunaan sistem kebolehjejakan. 

“Tindakan kompaun dan pembatalan lesen akan dilaksanakan oleh LGM bagi mana-mana pemegang lesen yang ingkar mematuhi syarat lesen dalam penggunaan sistem RRIMniagaTM, RRIMestet™ dan MSNR Trace. 

“Selaras dengan peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, denda sehingga RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada mana-mana pemegang lesen yang melanggar syarat lesen yang ditetapkan,” katanya.

Mengenai industri getah global, Chan berkata antara cabaran utamanya ialah ketiadaan sistem kebolehjejakan yang menyeluruh dari peringkat huluan hingga hiliran.

Katanya pelaksanaan MSNR dilihat penting dalam meningkatkan jumlah eksport getah dan produk getah Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU) yang mencatatkan nilai RM4.91 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan eksport getah asli dan produk getah negara berjumlah RM31.57 bilion pada 2024.

“Dalam konteks ini, pengenalan dan penguatkuasaan MSNR sejak Januari 2025 adalah bukti nyata bahawa Malaysia bersedia dan serius dalam mematuhi tuntutan pasaran antarabangsa, termasuk aspek kemampanan dan kebolehjejakan.

“Pelancaran eksport pertama getah asli MSNR ke EU pada 12 Dis 2024 membuktikan komitmen tersebut yang melibatkan sebanyak 200 tan ke Slovakia dan Belanda,” katanya.

Ketua Pengarah LGM Datuk Zairossani Mohd Nor berkata kejayaan tersebut menjadikan Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah negara pengeksport getah yang dipercayai dan diyakini di peringkat antarabangsa.

“Keupayaan negara dalam mengekalkan kebolehjejakan, mematuhi peraturan perdagangan antarabangsa dan menggalakkan inovasi berterusan menjadikan Malaysia rakan dagang yang strategik dan berwibawa dalam industri getah dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan