AM

PCSH BERJAYA LAKUKAN 180 PEMBEDAHAN LUTUT DENGAN BANTUAN TEKNOLOGI ROBOTIK

23/06/2025 11:05 AM

IPOH, 23 Jun (Bernama) -- Perak Community Specialist Hospital (PCSH) berjaya melakukan 180 pembedahan menggunakan kaedah Robotic Assisted Total Knee Replacement (TKR) sejak teknologi itu diperkenalkan di hospital berkenaan pada Jun 2023.

Pakar Bedah Ortopedik Residen PCSH Dr Yeoh Kian Hua berkata teknologi robotik menggunakan sistem CORI itu membantu pakar bedah ortopedik dengan penghasilan simulasi 3D bagi perancangan prapembedahan selain menyokong penjajaran lebih tepat semasa pembedahan dilaksanakan.

CORI ialah sistem pembedahan robotik yang direka untuk membantu pakar bedah dalam melakukan prosedur ortopedik invasif minimum, terutamanya bagi pembedahan lutut dan pinggul.

“Pembedahan cara biasa banyak bergantung pada tangan manusia (doktor), sistem ini pula menghasilkan model 3D lutut pesakit (prapembedahan) yang membantu pakar bedah mencari jajaran tepat bagi memastikan proses pembedahan dilaksanakan dengan tepat dan berkesan.

“Selain itu, kaedah ini juga mengurangkan risiko komplikasi dan pendarahan serta mempercepat proses pemulihan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Program Simposium Ortopedik: Perkembangan Terkini dan Amalan Terbaik dalam Bidang Ortopedik, di sini semalam. 

Dr Yeoh berkata pesakit yang menjalani pembedahan menggunakan sistem ini juga lazimnya hanya memerlukan tempoh kira-kira dua hingga enam minggu untuk pulih sepenuhnya. 

Bagaimanapun, katanya pesakit wajib menjalani rawatan fisioterapi yang bertujuan membantu mengurangkan kesakitan serta menguatkan kembali otot di sekeliling sendi.

“Untuk pengetahuan, setiap pembedahan menerusi sistem CORI juga hanya mengambil masa dalam satu hingga dua jam untuk diselesaikan.

“Selepas itu, para pesakit perlu menjalani rawatan fisioterapi dan tempoh pemulihan yang disarankan ialah hingga tiga bulan untuk mendapatkan kesan yang optimum,” katanya dan menambah antara pesakit yang disyorkan menggunakan kaedah ini terdiri dalam kalangan penghidap osteoartritis lutut tahap empat meliputi semua golongan.

Dr Yeoh berkata osteoartritis lutut ini ialah keadaan tulang rawan pada sendi lutut menjadi rosak secara perlahan-lahan dan apabila rosak, tulang di dalam sendi boleh bergesel antara satu sama lain yang boleh menyebabkan kesakitan, bengkak, kekakuan dan pergerakan lutut menjadi terhad.

“Pada asalnya ia berpunca sama ada disebabkan berat badan berlebihan, kecederaan lutut serta penggunaan sendi berlebihan dalam menjalankan aktiviti harian,” katanya.

Beliau berkata individu yang berminat untuk menjalani rawatan pembedahan menggunakan kaedah ini boleh menghubungi pihak PCSH bagi mendapatkan maklumat lanjut, khususnya mengenai kos rawatan yang bergantung pada tahap kesakitan dan keperluan klinikal setiap pesakit.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan